Rabu, 18 Mei 2011

Allahyarham Afrizal Ramlan - Hilang Yang Tidak Berganti (disalin dari Blog Mohsen Amdan)

15 Mei 2011 - Afrizal Ramlan menghembuskan nafasnya yang terakhir di Wad ICU Hospital Putrajaya kira-kira jam 10.30 malam. Ketika zaman pengajian di UIA beberapa tahun dahulu, beliau adalah seorang Presiden Kelab Gamelan yang amat dikenali...Ketika zaman kepemimpinannya Kelab Gamelan diangkat sebegitu tinggi hingga menjadi antara kelab yang agak disegani ketika itu.

Satu ketika pernah Almarhum menunjukkan kepada saya gambar pemandangan atas kota Putrajaya yang ketika itu masih lagi dalam pembinaan...Almarhum mengatakan kepada saya: "Di sinilah aku akan bekerja nanti"... Memang benar, hanya selang beberapa tahun Almarhum berjaya mencapai impiannya bertugas di kota Putrajaya itu...

"Ya Allah Ya Rabbi...Kau letakkanlah sahabatku ini bersama-sama insan-insan yang terpilih di sana...Kau curahkanlah Ni'matMu buat sahabatku ini Ya Allah...Amin Ya Allah..."

Berikut ialah salinan entri dari blog Mohsen Amdan yang mencatatkan ingatannya dan kenangannya bersama-sama dengan Almarhum:



Saya memiliki ramai rakan pelbagai peringkat usia, namun saya suka menyukat pencapaian diri ini dengan mereka yang hampir seusia saya. Salah seorang yang sering menjadi kayu pengukur saya ialah Allahyarham Afrizal Ramlan. Beliau baru saja menghembuskan nafas terakhir kira - kira 3 jam yang lalu (berdasarkan masa saya menulis entri ini).

Arwah bersama saya di Kolej Komuniti Selayang baru - baru ini. Inilah kali terakhir saya bertemu beliau. Facebook adalah medium terakhir saya berkomunikasi bersamanya

Beliau merupakan teman sebilik saya di UIAM sejak tahun pertama lagi kami di Gombak. Walaupun beliau mengambil jurusan Komunikasi dan saya Psikologi, namun kami sering memilih kelas yang sama sekiranya berpeluang terutama bagi subjek dalam Kulliyah yang sama iaitu Sains Kemanusiaan. Di pusat matrikulasi Lembah Pantai kami tidak rapat barangkali kerana latar berbeza. Beliau lebih elit berbanding saya yang hanya penghantar makanan Mc Donalds dan penggunting rambut saja. Malah beliau lebih menonjol kerana berada di antara pelajar yang mengenakan tali leher untuk ke kelas walaupun ianya bukan pakaian seragam kami ketika itu!

Mahallat Ali - 5A G1 adalah nombor bilik kami. Selain saya dan Afrizal, Naeman Bestow adalah penghuni tetap bilik kami. Norman Ismail, Mohd Iqbar Othman dan Rudy Irwan ialah penghuni yang bertukar ganti di bilik kami ini. Terlalu banyak perkara suka duka yang terlintas di kepala saya ketika ini membabitkan kami semua. Dari kisah Liga Mulut Emas sehinggalah ke giliran beli lauk setiap hari, kenangan bersama arwah tidak dapat saya lupakan.

Pencapaian akademik beliau hebat, pencapaian kerjaya nya juga cemerlang sekali. Pada usia 33 tahun beliau telah pun mengecapi tangga kerjaya hebat di sektor kerajaan. Melanjutkan pengajiannya di UKM, dalam bidang sains politik, kajiannya menjurus kepada senario semasa politik Malaysia iaitu Isu Lompat Parti.

Saya dan beliau selain dari sebilik, kami juga bermain gamelan di UIAM. Beliau akhirnya dilantik sebagai Presiden Kelab Gamelan dan saya sering bertelagah dengannya mengenai halatuju gamelan sehingga tertubuhnya Dewangga Sakti! Ahhh mana mungkin saya melupakan semua itu. Perbalahan kami yang teruk sebenarnya telah mengukuhkan lagi ikatan persahabatan kami.

Pemikirannya kritis dan mendalam terhadap sesuatu perkara membuatkan buah fikirannya sering menjadi perbualan. Suka mencari bukti hujahan, malah rajin membaca mengukuhkan lagi buah fikirannya. Tidak salah rasanya pilihan Datuk Shaziman Abu Mansur melantik beliau sebagai SUSK nya dahulu.

Saya sering berkata padanya "Zal - aku sangat yakin salah seorang dari kawan - kawan aku yang bakal mendapat pangkat Datuk atas pencapaian hebat ialah kau!" Malangnya...hajat saya tidak kesampaian.

Arwah membawa rakan - rakan Gilera nya untuk meraikan program saya di Berjaya Times Square satu ketika dahulu

Saya tidak tahu susunan tulisan saya kali ini. Saya hanya menulis mengikut hati yang sedih. Saya sangat sedih di atas pemergian sahabat baik saya ini. Dia sering menasihatkan saya dahulu supaya berhati - hati mengunggang motorsikal. Manakan tidak. Setiap kali kami duduk dengan orang lain, pastinya dia akan ceritakan pengalamannya membonceng bersama saya. Saya melakukan aksi 'corner baring' di Bulatan Pahang bersama dia dan dia akan berulang - ulang menceritakan pengalaman seramnya itu. Namun kali ni, motorsikal juga menjadi punca pemergiannya. Saya pasrah dengan ketentuan Allah, Allah lebih menyayanginya.

Kepada rakan - rakan yang mengenalinya, mahupun peserta program Kerjaya yang pernah mengikuti ceramah beliau, 16hb Mei 2011 jenazahnya akan disemadikan di kampungnya - Sesapan Kelubi Beranang lebih kurang pada jam 11 pagi.

Beliau adalah seorang yang sangat berdisiplin, dedikasi pada tugasan bersemangat tinggi. Saya membayangkan beliau bakal memegang jawatan tinggi di negara ini berdasarkan kemampuannya. Namun, Allah lebih mengetahui....

Afrizal Ramlan - kaulah sahabat, kaulah teman, kaulah kawan...Semoga roh mu dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang terpilih



Selasa, 30 November 2010

Sepak Takraw



Bidang tugas saya memerlukan saya untuk bergerak melihat dan menilai kemajuan projek-projek pembangunan Kementerian di kawasan-kawasan luar bandar di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, dan Sarawak.

Apa yang menariknya, walau di ceruk mana pun saya bertugas, terdapat 3 sukan utama yang menjadi kegemaran anak-anak sekolah pelbagai kaum di Malaysia ini. Sukan-sukan tersebut ialah bolasepak, badminton, dan sepak takraw. Antara 3 sukan tersebut, barangkali yang paling dekat dengan hati saya ialah sepak takraw. Bukan kerana saya amat meminati sukan ini, jauh sekali pandai bermainnya. Ia agak dekat dengan hati ini kerana saya kerana pengaruh rakan sebaya! Ya, pengaruh rakan sebaya. Salah seorang sahabat baik saya, iaitu Saudara Mohsen, adalah peminat tegar sukan ini semenjak zaman persekolahannya lagi. Beliau juga adalah moderator sebuah blog berkenaan sukan ini yang popularitinya meningkat dari hari ke hari. Blognya iaitu http://www.bolarotan.com, bukan sahaja antara peneraju berpengaruh dalam sukan ini, malah dengan blognya ini, Saudara Mohsen telah dipanggil oleh sebuah hotel berprestij untuk mengadakan demonstrasi sepak takraw di hadapan tetamu jemputan dari pelbagai negara asing dalam satu keraian yang dianjurkan oleh hotel berkenaan. Melalui blog ini juga, ianya merangkaikan kita dengan banyak lagi blog dalam universe sepak takraw ini. Secara peribadi, dengan Saudara Mohsen juga saya mendapat banyak maklumat sekitar perkembangan terkini sukan ini yang mana tidak dapat kita ketahui di saluran media perdana.

Sukan ini yang mana masih giat hebat dimainkan di seluruh pelusuk tanah air, khususnya di kawasan luar bandar; punyai 1 konotasi iaitu: aura dan tarikannya masih lagi sangat tinggi! Di sebuah daerah di Sarawak, iaitu di Kapit, yang mana perjalanan dari bandar Sibu merentasi Sungai Rajang dengan bot laju selama 3 jam, saya melihat anak-anak sekolah bermain sepak takraw dengan penuh semangat. Dengan libasan dan timangan yang hebat diselang seli usik mengusik di antara pemain dan penonton, sepak takraw ternyata punyai rempah ratus semangat kesukanan yang tinggi.

Dalam aspek sepak takraw, semua sedia maklum bahawa terdapat kejohanan sukan dalam kawalan aktiviti persekolahan telah wujud. iaitu anjuran Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) atau Majlis Sukan Sekolah Negara (MSSM). Tetapi saya sangat-sangat merasakan negara ini memerlukan lebih banyak kejohanan, pertandingan, dan liga peringkat umur anak sekolah diperbanyakkan di luar lingkup aktiviti persekolahan. Program-program seperti ini mestilah dilipatgandakan volumenya tidak kira ianya peringkat kampung, peringkat taman perumahan, ataupun yang lebih grand iaitu peringkat negeri atau peringkat negara.

Kita sebagai rakyat Malaysia baru-baru ini terpaksa sekali lagi sesudah 16 tahun berputih mata melihat negara jiran Thailand bermegah di atas podium meraikan emas sepak takraw Sukan Asia. Mujur kita tidak tewas dengan Korea Selatan. Tapi siapa tahu nasib kita dalam 4 tahun akan datang.

Saya mendapat pengkhabaran Saudara Mohsen dan sahabatnya dalam lingkungan pencinta tegar Sukan Penuh Seni dan Adab ini sedang berusaha untuk sesuatu yg sangat besar ketika ini, demi meletakkan sukan ini ditahap yang sepatutnya iaitu Malaysia sebagai kuasa tunggal sepak takraw dunia.

Saya bukanlah seorang ahli sukan ataupun peminat sukan, tetapi saya merasakan seperti jenis sukan yang lain, penerokaan bakat-bakat baru sebagai pelapis wakil sukan negara mestilah dimulakan seawal mungkin, dan tiada lagi pool yang lebih baik selain dari sekolah. Di sekolah lah generasi muda rakyat negara ini diperkenalkan dengan pelbagai aktiviti sukan. Dengan dasar baru yang diperkenalkan Kerajaan mulai tahun hadapan iaitu Satu Pelajar Satu Sukan, adalah diharapkan ianya menjadi 1 platform baru persatuan-persatuan sukan mengintai lalu mencungkil potensi baru dalam pencarian jaguh sukan negara.

Di banyak kawasan pendalaman luar bandar di negara kita ini, yang mana padang bola sepak dan raket badminton umpama barangan sukan mewah, anak-anak sekolah kita bertumpu kepada sepak takraw, sebagai aktiviti rekreasi setiap petang dan hujung minggu. Pada saya inilah peluang keemasan yang mana persatuan sukan yang berkenaan harus ambil dan menukarkannya kepada Emas Sukan Asia!

p/s: Teringat lagi sewaktu kali pertama (dan terakhir) mewakili sekolah dalam sukan, saya memilih sepak takraw! Terima kasih kepada Ustaz Shamdudin dan Cikgu Rahim yang memberi peluang saya memperaga jersi SRK JALAN 6, Bandar baru Bangi. Anggota lain dalam school-team sepak takraw ketika itu yang saya masih ingat ialah: Saudara Mua'z, Saudara Faris Fauzi, Saudara Azhar, dan Saudara Mohan.

Selasa, 9 November 2010

TY Restaurant oleh Raja


Saya sudah lama kenal dengan Raja. Seusia juga persahabatan saya dengan Ikhbal. (http://eeqbalz.wordpress.com/) Persahabatan kami sejak zaman belajar di Matrikulasi UIA Lembah Pantai tahun 1996 dahulu, Alhamdulillah masih kekal hingga hari ini. Pelbagai rencah hidup suka duka kami lalui bersama-sama dari Lembah Pantai, membawa ke Petaling Jaya, Gombak, UIA Gombak, Bangi, Terengganu, Sungai Tua, Bandar Sri Putra, Putra Permai, Pasar Borong Selangor, hinggalah ke Putrajaya.

Walaupun setelah meninggalkan UIA kami semua memulakan hidup dengan makan gaji, kini hanya tinggal saya dan Ikhbal yang masih makan gaji, tetapi Raja sudah meneroka alam baru dengan menjalankan perniagaannya sendiri! Ya, Raja sudah ada restorannya sendiri. Tahniah Raja! Selain menguruskan restoran bersama-sama adiknya, Raja juga menjalankan bisnes katering. Inilah kerjaya yang diidam-idamkannya. Latarbelakang pendidikannya dalam perakaunan selain sokongan yang kuat dari isteri, (Puan Zarina) ibu bapa, (yang kini sedang menjadi Tetamu Allah di Tanah Haram) serta adik-adiknya sangat-sangat mendorong dan membakar semangatnya untuk maju lebih jauh ke hadapan!

Setiap kali saya dan Ikhbal berkunjung ke restorannya, ada sahaja idea segar dari mindanya untuk terus meningkatkan kejayaan restorannya. Saya dan Ikhbal sangat-sangat bangga dengan apa yang dikecapi Raja ketika ini. Ya Allah, kurniakanlah Keberkatan dan Rahmatmu buat sahabat kami Raja dan seluruh ahli keluarganya ... Amin Ya Allah!

Berikut adalah paparan dari blog Raja berkenaan perniagaannya:
http://tyrestaurant.blogspot.com/


SARAPAN PAGI WESTERN MEET EAST @ TY RESTAURANT
Salam,

Bermula 1 November 2010, TY Restaurant Memperkenalkan juadah sarapan pagi ala western di samping menu sarapan pagi tempatan sedia ada.

Serentak dengan pelancaran menu baru, kami juga menyediakan pakej-pakej sarapan pagi untuk memudahkan pelanggan memilih hidangan yang di gemari dan berjimat.

Berikut adalah Pakej-Pakej Western :


Combo Breakfast Set A
-1 Set Toast Bread
-Marjerine
-Marmalade@Honey@Jam
-Hot Drink

RM4.00

Combo Breakfast Set B
-French Toast
-Hash Brown
-Sausage Roll @ Sandwich Roll
-Baked Bean
-Teh Tarik Gelas Besar

RM5.00

Combo Breakfast Set C
-French Toast
-Hash Brown
-Sausage Roll @ Sandwich Roll
-Baked Bean
-F&N Fruit Tree Orange

RM6.00
Combo Breakfast Set D
--French Toast
-Hash Brown
-Sausage Roll @ Sandwich Roll
-Baked Bean
-Telur Mata@Scrambled Egg
-Teh Tarik Gelas Besar

RM7.00


Combo Breakfast B @ RM5.00 bersama Teh Tarik

Lain-lain Gambar Menu Western :

Hash Brown

Sardine Roll

French Toast

Baked Bean

Sausage Roll
Antara Pakej Makanan Malaysia adalah :



SET EKONOMI
-1 Roti Canai Kosong
-Teh Tarik


RM2.00
SET STANDARD
-1 Pinggan Nasi Lemak Telur Mata
-Teh Tarik


RM3.00
SET PREMIUM
-1 Pinggan Nasi Dagang @ Nasi Kerabu
- 1 Jenis Lauk
-Teh Tarik


RM5.00


Roti Canai Panas
+
Teh Tarik Gelas Besar Kawww
=RM2.00 SAHAJA!!!!!!!!


Nasi Dagang Setiap Jumaat

SARAPAN PAGI LEBIH BERMAKNA DI TY.

Rabu, 13 Oktober 2010

Gua Musang!


Saya baru pulang dari Gua Musang kerana urusan kerja. Ini kali kedua saya ke sana. Kali pertama ialah pada 1 Ramadhan yang lalu. Ketika ini di Gua Musang, musim pilihanraya kecil sudah mula terasa. Sebaik sahaja melintas sempadan Pahang - Gua Musang, perang bendera parti politik menyambut kedatangan kita.

Hotel-hotel, rumah-rumah sewa, rumah-rumah tumpangan, hostel-hostel murah, mahupun bilik-bilik sewa di sekitar bandar ini dikhabarkan telah pun ditempah mulai saat tarikh pilihanraya kecil diumumkan di media sehinggalah pilihanraya berakhir nanti. Khabarnya ada yang telah pun meletakkan deposit sewa yang sangat-sangat tinggi mencecah puluhan ribu ringgit demi memastikan premis penginapan dapat digunakan saat jentera pilihanraya mula digerakkan.

Mujur rakan sejawat saya di Gua Musang ini telah pun menempah bilik penginapan saya. Kalau tidak, terpaksalah saya bermalam di dalam kereta. Manakan tidak, hotel penginapan saya pada malam kelmarin juga telah pun penuh dengan para tetamu daripada segenap pelusuk negeri.

Di mana-mana sahaja seperti lazimnya, orang ramai sibuk memperkatakan tentang pilihanraya kecil ini, khususnya persoalan berkenaan calon yang akan bertanding. Saya sempat juga mendengar pelbagai versi "risikan" tidak rasmi akan ura-ura calon yang akan bertanding. Seperti lazimnya juga, ada versi yang boleh dipertimbangkan kesahihannya, dan ada juga yang memang tidak masuk akal!

Imej yang saya sisipkan bersama-sama ini bukanlah hendak mengiklankan empunya rumah, tetapi sekadar berkongsi kehangatan pilihanraya kecil yang semakin terasa bukan sahaja di kalangan warga Gua Musang, malah seluruh insan 1Malaysia ini ...

Rabu, 1 September 2010

Ramadan Yang Manis

Puisi ini disalin daripada blog Datuk A. Samad Said : http://samadsaid.wordpress.com/

Alam itu cantik—gunung dan tasik;
maya terlalu indah—laut dan mega.
Lapar dan dahaga yang mengiktibar
cekal dan bersih suara mengajar:
Lapar kita dahaga yang menguji,
dahaga kita lapar yang mengerti—
ketaqwaan penuh terhadap Illahi.
Puasa—musim manis, bahang menguji,
angin yang santun ke pohon dakwah
bergugus dan sihat buah ibadahnya.

Bulan menyimpan kebijaksanaan,
musim indah di taman Ramadan,
menyerlahkan kemanusiaan luar biasa,
menginsafi keagungan Maha Kuasa.
Daun yang gugur tanah yang rekah
di atas sejadah harum iklimnya;
surah yang jernih dan suara syahdu
terhantar ke lidah dari damai qalbu,
merubah derita ke bahagia diri,
membimbing hidup yang diredhai.

Solat malam, zikir doa, tulus sedekah
ibadah ummah, tangkai yang ketiga,
mengagumi Allah Subhanahu Wa Taala.
Langit beradab, kelam dan cerah
datang dan pulangnya iktibar berhemah.
Badik ketika murka, senyum sewaktu mesra,
alam, insan khusyuk menyujud Illahi
sekiblat dalam tautan kasih yang hakiki.
Lailatul qadar ia pada detik terpilih
malam yang manis, indah dan jernih.

Pada malam sabar dan siang yang cekal
ranum pohon hikmah sebagai bekal;
gugus permata, kerlipnya paling mesra,
merimbun bugar, daunnya meneduhi ummah.

A. Samad Said

Khamis, 26 Ogos 2010

Ranum Ramadhan - Yang kudengari di IKIM.fm pagi ini

Sebuah puisi indah oleh Datuk A. Samad Said (http://samadsaid.wordpress.com/)


Fajar harum, bermula salam dalam udara
yang mengkhusyukkan. Semuanya tiba
terdampar dalam sepi bermusim sabar:
Hati dan budi, didakap tulus oleh solat,
dalam gementar yang sentiasa syahdu.
Dalam nafas jerih bulan paling jernih,

amalan puasa mencabar dan mengajar.
Terlimpah sepadat makna yang perih;
kita belajar dari derita yang pedih;
dan dalam bulan ujian terlalu garang
kita masih boleh mengutip kesejahteraan.
Dongak ke angkasa rahsia mengkhayali

lapisan sfera, ke qalbu tersentuhnya
kita, digundahi kekaguman luar biasa:
Bumi anugerah Allah dan terpilih kita
khafilahnya, datang yang dianugerahi,
boleh memberi, boleh juga memungkiri,
terpulang santun memilih atau menafi.

Bulan ini memangnya saat bertafakur,
bersedia memurni diri jika bersyukur,
kerana puasa yang menguji, menjelang
Aidilfitri, nafas kudus menghening diri,
terbimbing ke batin lebih berhemah.
Terima kasih kita sepadu syahdu arah

yang memang datang seiring anugerah;
kerana manusianya kita, dan kerdilnya
di hadapan Allah, wajar bersyukurlah
setiap saat, sepurnama, penuh mekar
dalam debar, membaca setiap iktibar.
Kita beransur ranum dalam bulan mulia.

A. SAMAD SAID

Terbang Tinggi - Buat mereka yang saya kenali sebagai yang berani, tabah, dan cekal ...

Terbang Tinggi - Yassin (album Salsabila)


Kau ingin tahu terbang tinggi apa pengertiannya?

Kau perlahan-lahan melangkahkan kaki
Cuba mendaki sejauh lelangit yang tinggi
Seperti mereka yang telah merasa
Terbang tinggi apa pengertiannya

Hidupnya bagaikan insan yang asing
Si musafir berkelana di bumi yang lain
Tiada bermegah tidak terlalu lemah
Sebaik perkara yang sederhana

Katakan hidup dengan pujian manusia
Atau mati dengan cacian mereka
Pengertian hidup bukanlah apa yang kau sangka

Jangan kesal jangan sesal dengan siapa sebenarnya kita
Dan terbang tinggi di langit yang luas
Terima dirimu seadanya

Jangan caci pada si dia hina
Jangan benci pada yang tak mengertinya
Kasihanilah dia yang tak menghayatinya
Jangan takut kiranya kau berbeza

Perbezaanya kita ilmu dan sikap
Mungkin kelak kau akan mengertinya
Pengertian hidup bukanlah apa yang kau sangka

Jangan sesal jangan kesal
Jangan kesal jangan sesal
Terima dirimu seadanya
Dan terbang tinggi dilangit yg luas