Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA ammar.jazlan@kosmo.com.my
'JANGAN monyet.....jangan' 'Aku tak peduli...aku nak juga.
Walaupun dialog animasi pendek itu ditayangkan sekitar tahun 80-an, masih ramai yang mengingatinya. Petikan dialog animasi Sang Kancil dan Monyet terbitan Filem Negara Malaysia (FNM) itu nyata sangat kuat pengaruhnya. Jalan ceritanya tampak mudah, namun siri yang diadaptasi daripada cerita dongeng kanak-kanak itu tetap memberi impak kepada penonton tanpa mengira peringkat usia. "Penghasilan siri berkenaan telah mencetuskan fenomena baru dalam bidang animasi tempatan, biarpun tanpa sebarang kepakaran dan teknologi canggih," kata penciptanya yang juga pelopor bidang animasi di Malaysia, Hassan Abdul Muthalib. Biarpun durasi siri tayangan yang dihasilkan pada tahun 1984 itu hanya lima minit, proses menyiapkannya mengambil masa selama enam bulan. Kesemua proses dilakukan secara manual bermula daripada proses melakar, mewarna, membuat papan cerita, memasukkan imej sehingga kepada proses produksi. "Untuk menghasilkan sebuah animasi selama satu saat memerlukan sebanyak 12 keping lukisan, bayangkan berapa keping lukisan diperlukan untuk tempoh lima minit," ujarnya. Namun, semua itu tidak mematahkan semangat Hassan untuk meneruskan usahanya, lebih-lebih lagi percubaan pertamanya mendapat sambutan daripada penonton.
Tiada pengalaman
Dedikasinya diterjemahkan melalui beberapa siri animasi pendek seterusnya seperti Sang Kancil dan Buaya pada tahun 1987, Gagak Yang Bijak, Singa Yang Haloba dan Arnab Yang Sombong. Mengakui tidak memiliki pengalaman dalam bidang pengarahan, penulisan atau penghasilan animasi ketika itu, Hassan berkata, ia dilakukan atas dasar minat, kajian dan percubaan semata-mata. Lelaki berusia 65 tahun itu bertuah kerana bertemu dengan salah seorang animator Walt Disney yang terkenal, Clair Weeks. Daripada Weeks, Hassan belajar cara-cara untuk menghasilkan jalan cerita dan watak dalam sesebuah animasi. Bermula dari situ Hassan menghasilkan beberapa treler pendek yang berbentuk nasihat seperti Hapuskan Denggi, Jimatkan Elektrik, Jimatkan Air, Jauhi Dadah sehinggalah diberi peluang menghasilkan siri Sang Kancil ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Unit Senireka FNM. Penglibatannya dalam bidang perfileman bermula selepas bertemu dengan Zarul Hisham Al-Bakri pada tahun 1989 yang membawa kepada penghasilan filem Mat Gelap lakonan Imuda. Menariknya, ia merupakan kali pertama watak manusia dan animasi digabungkan dalam sebuah filem di negara ini. "Ia diilhamkan berdasarkan filem Who Frame Rogger Rabbit yang diterbitkan pada tahun 1988. Biarpun watak animasi filem ini hanya memakan masa empat minit setengah namun ia memerlukan masa empat bulan untuk disiapkan. "Prosesnya juga agak rumit kerana saya terpaksa membayangkan watak Imuda sebelum disesuaikan dengan imej Mat Gelap melalui teknik pertindihan imej," kata Hassan yang memberitahu ia merupakan filem pertama dan terakhir menggunakan teknik sedemikian. Tidak terhenti setakat itu sahaja, beliau turut menjadi antara orang penting dalam filem animasi pertama negara iaitu Silat Lagenda yang mempopularkan watak Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya, siri-siri animasi serta iklan komersial.
Kejayaan Disney
Menyifatkan penggunaan teknologi komputer dan perisian canggih banyak membantu serta memudahkan penghasilan animasi pada hari ini, Hassan berpendapat ia bukan faktor utama dalam melahirkan sesebuah karya yang hebat. "Biarpun menggunakan teknik tiga dimensi (3D) dan imej janaan komputer (CGI) ia tidak akan bermakna sekiranya animasi yang dihasilkan tidak mempunyai penceritaan yang baik. "Sebab itu kita lihat animasi Disney begitu berjaya sehingga ke hari ini. Animasi yang dihasilkan bukan sekadar lukisan yang bergerak tetapi cerita yang dilakarkan, sebab itu kita lihat watak Mickey Mouse dan Donald Duck mempunyai pengaruh yang sangat kuat," jelasnya yang berpengalaman sebagai pengajar dan juri jemputan pelbagai festival animasi di dalam dan luar negara. MESKIPUN tanpa kepakaran, Hassan berjaya menghasilkan animasi filem Mat Gelap yang menggabungkan watak manusia dan animasi. Sementara itu, Pengarah Urusan Quest Animations (M) Sdn. Bhd., Kamarudin Ismail yang berpengalaman dalam bidang animasi sejak dua dekad lalu berkata, kejayaan filem Geng: Pengembaraan Bermula yang diadaptasi daripada siri televisyen Upin dan Ipin membuktikan teknologi animasi semakin berkembang. Berpengalaman mengarahkan animasi bersiri seperti Usop Sontorian dan Kluang Man yang begitu popular sekitar 90-an, beliau menjelaskan, ketika itu tidak ramai yang mempunyai kepakaran membabitkan aspek teknikal dan penerbitan animasi terutama melalui komputer. "Saya sendiri bermula daripada bawah, belajar melalui buku sebelum mampu melatih pekerja menggunakan perisian yang digunakan. "Semasa projek Usop Sontorian dimulakan, ramai yang memandang sinis dan membandingkannya dengan animasi dari luar, namun sebaik sahaja disiarkan ia berjaya menarik perhatian penonton," katanya yang juga Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas). Potensi dan nilai komersial yang dihasilkan membuka mata banyak pihak menyebabkan pelabur dan produksi tempatan menunjukkan minat untuk menghasilkan animasi tempatan. Ini termasuklah ledakan teknologi digital seperti 3D yang membolehkan lakaran animasi yang dilakukan lebih halus dan setanding dengan produk luar negara. Perkembangan itu digiatkan menerusi galakan daripada Perbadanan Multimedia Malaysia (MDeC) yang menyuntik sejumlah dana bagi membiayai projek dalam industri animasi dan kandungan kreatif digital. Tidak hairanlah, beberapa syarikat animasi memberani diri menghasilkan siri seperti Anak-Anak Sidek, Bola Kampung, Yokies, Sang Wira, Kampung Boy dan sebagainya. Malah, Kamaruddin sendiri telah menghasilkan beberapa karya bermula daripada Che Nat, Toman 1, Kumang Lagenda Sarawak, Lagenda Kinabalu, Pusaka, Pejuang dan terbaru Duwi. Populariti animasi tempatan turut dirasai semasa Pameran Animasi 1Malaysia di yang diadakan di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) pada 20 April sehingga 21 Mei lalu. Pengarah Perkhidmatan Maklumat Umum PNM, Dahlia Zainal berkata, pameran yang julung-julung kali diadakan itu mendapat sambutan menggalakkan dan mendedahkan generasi muda terhadap bidang animasi tempatan. "Sepanjang pameran ini mereka didedahkan tentang sejarah dan teknik penghasilan animasi selain bertemu dengan mereka yang terlibat dalam industri ini," katanya.
Dilema
Bagaimanapun dalam kerancakan itu, wujud dilema apabila stesen televisyen swasta kurang memberi sokongan kepada industri berkenaan. Harapan kini disandarkan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang membeli beberapa program animasi untuk disiarkan di dalam lima slot setiap minggu. "Inilah masalah yang menghantui kalangan pengeluar animasi tempatan, sudahlah sukar mencari tempat di stesen televisyen milik swasta malah mereka terpaksa bersaing sesama sendiri mengisi slot yang disediakan oleh RTM. "Kesannya, banyak produk animasi tidak dapat disiarkan malah ada di kalangan pemilik produksi terpaksa mencari pasaran baru di luar negara bagi mengelakkan kerugian di samping membayar segala kos operasi," kata Kamarudin yang berharap satu perbincangan segera dapat diadakan bagi menyelesaikannya. Pendapat yang sama turut diutarakan oleh pengarah animasi berbakat, Amier Hamzah. Menurut beliau, salah satu pendekatan yang boleh membantu meningkatkan industri itu ialah dengan membuka lebih banyak siaran di rangkaian televisyen tempatan. Beliau juga berharap kerajaan dapat menyalurkan bantuan bagi mendorong penghasilan animasi yang lebih bermutu terutama dalam konteks hiburan berlatarbelakangkan tradisi, adat resam dan kehidupan di negara ini. Animasi boleh dijadikan bahan berkesan dengan memuatkan unsur-unsur nasihat, motivasi, keagamaan, mengangkat nilai tradisi dan sejarah melalui ikon-ikon tempatan yang dibentuk. "Untuk membangunkan industri berkenaan, ia memakan masa yang lama dan tidak boleh berlaku dalam tempoh yang singkat. "Bagaimanapun apa yang berlaku agak mengecewakan, pergantungan kepada animasi luar yang lebih murah menyebabkan animasi tempatan dan bakat-bakat sedia ada dan berpotensi terkubur begitu sahaja," tegasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan