Rabu, 13 Oktober 2010

Gua Musang!


Saya baru pulang dari Gua Musang kerana urusan kerja. Ini kali kedua saya ke sana. Kali pertama ialah pada 1 Ramadhan yang lalu. Ketika ini di Gua Musang, musim pilihanraya kecil sudah mula terasa. Sebaik sahaja melintas sempadan Pahang - Gua Musang, perang bendera parti politik menyambut kedatangan kita.

Hotel-hotel, rumah-rumah sewa, rumah-rumah tumpangan, hostel-hostel murah, mahupun bilik-bilik sewa di sekitar bandar ini dikhabarkan telah pun ditempah mulai saat tarikh pilihanraya kecil diumumkan di media sehinggalah pilihanraya berakhir nanti. Khabarnya ada yang telah pun meletakkan deposit sewa yang sangat-sangat tinggi mencecah puluhan ribu ringgit demi memastikan premis penginapan dapat digunakan saat jentera pilihanraya mula digerakkan.

Mujur rakan sejawat saya di Gua Musang ini telah pun menempah bilik penginapan saya. Kalau tidak, terpaksalah saya bermalam di dalam kereta. Manakan tidak, hotel penginapan saya pada malam kelmarin juga telah pun penuh dengan para tetamu daripada segenap pelusuk negeri.

Di mana-mana sahaja seperti lazimnya, orang ramai sibuk memperkatakan tentang pilihanraya kecil ini, khususnya persoalan berkenaan calon yang akan bertanding. Saya sempat juga mendengar pelbagai versi "risikan" tidak rasmi akan ura-ura calon yang akan bertanding. Seperti lazimnya juga, ada versi yang boleh dipertimbangkan kesahihannya, dan ada juga yang memang tidak masuk akal!

Imej yang saya sisipkan bersama-sama ini bukanlah hendak mengiklankan empunya rumah, tetapi sekadar berkongsi kehangatan pilihanraya kecil yang semakin terasa bukan sahaja di kalangan warga Gua Musang, malah seluruh insan 1Malaysia ini ...

1 ulasan: