Khamis, 5 Februari 2009

Daripada http://iiumbloggers.com (21 Januari 2009): UIAM abaikan konsep Islam?

Gambar daripada: Laman Kulliyah of ICT, IIUM

UIAM abaikan konsep Islam

UNTUK menyebarkan agama Islam, kerajaan kita dengan kerjasama negara-negara Islam telah bersepakat menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Pada ketika ini umat Islam seluruh dunia amat memandang tinggi institusi ini. Ini kerana UIA menekankan ciri-ciri Islam kepada pelajar-pelajar dan pekerja. Malah pelawat luar juga dikenakan peraturan untuk menutup aurat apabila memasuki kawasan kampus UIA dan kepada pelawat bukan Islam sekurang-kurangnya memakai selendang bagi perempuan.

Namun pada ketika ini peraturan dan undang-undang yang diwujudkan itu semakin diabaikan oleh pelajar, malahan tiada penguatkuasaan terhadap pelawat yang tidak menutup aurat. Ini dapat dilihat pelajar-pelajar perempuan UIA hanya mengenakan tudung yang jarang, nipis dan amat singkat.

Pelawat yang datang juga hanya mengenakan pakaian paras lutut dan baju tanpa lengan, perkara ini dapat dilihat pada hari pendaftaran. Begitu juga pembekal yang menghantar barang ke dalam kampus.

Saya amat bimbang mengenai perkara ini sekiranya tiada tindakan yang diambil oleh pihak universiti. Jika perkara ini diabaikan lama-kelamaan UIA akan dipandang hina oleh masyarakat dan negara luar terutamanya negara-negara Islam.

Oleh itu saya amat berharap pihak bertanggungjawab di UIA dapat mengambil inisiatif mengatasi perkara tersebut. Saya juga dengan rasa prihatin ingin mencadangkan supaya perkara ini dapat dibincangkan oleh pihak dekan, bahagian disiplin dan juga pihak pengawal keselamatan.

Perkara ini juga meliputi akhlak pelajar-pelajar UIA Kampus Nilai yang mana disiplin mereka berada pada tahap yang agak kritikal apabila tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak pentadbiran. Ini kerana Kampus Nilai terbuka dan tanpa pengawasan dari pengawal dan pihak bertanggungjawab. Perkara ini amat dikesali kerana di Kampus Nilai dapat dilihat pelajar UIA ada yang tidak mengenakan tudung apabila keluar dari kawasan kampus dan pelajar lelaki hanya memakai seluar pendek apabila keluar dari bilik.

Saya amat berharap pihak bertanggungjawab dari UIA dapat mengambil tindakan yang tegas dan mengetatkan peraturan-peraturan di kampus agar UIAM dapat mengekalkan imej Islam di mata masyarakat.

LOVE ISLAM
UIA

Di bawah adalah komentar aku berkenaan isu ini dalam blog yang sama:

Saya amat bersetuju dengan pandangan penulis tentang isu ini. Sebenarnya sejak saya mendiami kampus UIA Gombak ini dibuka pada 1998 dulu pun, aras kepatuhan konsep-konsep Islam seperti yang disebutkan itu pun tidaklah boleh dibanggakan..apatahlah lagi boleh diharapkan.

Sekiranya pemakaian tudung tidak diwajibkan ataupun pemakaian seluar pendek dilarang di kawasan kampus, pastinya UIA tak ubah seperti IPT lain ataupun kolej swasta! Manakan para pelawat hendak menghayati konsep-konsep Islam ini, sedangkan para pelajarnya pun ambil endah tak endah tentang hal ini.

Walaupun isu yang dibicarakan ini bersifat kosmetik yakni tentang penghayatan konsep Islam secara luaran; ianya sangat penting! Kerana inilah yang disebut sebagai syiar Islam! Perlambangan terhadap tahap keimanan kita!

Saya setuju dengan penulis bahawa, pihak yang berwajib di UIA perlu mengambil berat, mengambil peka, tentang perkara ini. Para pelajar yang pelbagai latarnya ini harus dididik dan diasuh peri pentingnya konsep-konsep Islam ini dihayati seterusnya diamati.

Kiranya UIA mahu benar berbeza ataupun kelihatan menonjol berbanding IPT lain ataupun mencapai tahap tertinggi dalam kelasnya yang tersendiri…tidak boleh tidak…ambillah dan laksanakanlah konsep-konsep Islam ini dengan jujur dan ikhlas.

Namamu pun UIA. Rupamu haruslah UIA. Saya SAYANG UIA, sebab itulah pandangan ini dilontarkan. Syukran. Jazakallah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan