Rabu, 18 Mei 2011

Allahyarham Afrizal Ramlan - Hilang Yang Tidak Berganti (disalin dari Blog Mohsen Amdan)

15 Mei 2011 - Afrizal Ramlan menghembuskan nafasnya yang terakhir di Wad ICU Hospital Putrajaya kira-kira jam 10.30 malam. Ketika zaman pengajian di UIA beberapa tahun dahulu, beliau adalah seorang Presiden Kelab Gamelan yang amat dikenali...Ketika zaman kepemimpinannya Kelab Gamelan diangkat sebegitu tinggi hingga menjadi antara kelab yang agak disegani ketika itu.

Satu ketika pernah Almarhum menunjukkan kepada saya gambar pemandangan atas kota Putrajaya yang ketika itu masih lagi dalam pembinaan...Almarhum mengatakan kepada saya: "Di sinilah aku akan bekerja nanti"... Memang benar, hanya selang beberapa tahun Almarhum berjaya mencapai impiannya bertugas di kota Putrajaya itu...

"Ya Allah Ya Rabbi...Kau letakkanlah sahabatku ini bersama-sama insan-insan yang terpilih di sana...Kau curahkanlah Ni'matMu buat sahabatku ini Ya Allah...Amin Ya Allah..."

Berikut ialah salinan entri dari blog Mohsen Amdan yang mencatatkan ingatannya dan kenangannya bersama-sama dengan Almarhum:



Saya memiliki ramai rakan pelbagai peringkat usia, namun saya suka menyukat pencapaian diri ini dengan mereka yang hampir seusia saya. Salah seorang yang sering menjadi kayu pengukur saya ialah Allahyarham Afrizal Ramlan. Beliau baru saja menghembuskan nafas terakhir kira - kira 3 jam yang lalu (berdasarkan masa saya menulis entri ini).

Arwah bersama saya di Kolej Komuniti Selayang baru - baru ini. Inilah kali terakhir saya bertemu beliau. Facebook adalah medium terakhir saya berkomunikasi bersamanya

Beliau merupakan teman sebilik saya di UIAM sejak tahun pertama lagi kami di Gombak. Walaupun beliau mengambil jurusan Komunikasi dan saya Psikologi, namun kami sering memilih kelas yang sama sekiranya berpeluang terutama bagi subjek dalam Kulliyah yang sama iaitu Sains Kemanusiaan. Di pusat matrikulasi Lembah Pantai kami tidak rapat barangkali kerana latar berbeza. Beliau lebih elit berbanding saya yang hanya penghantar makanan Mc Donalds dan penggunting rambut saja. Malah beliau lebih menonjol kerana berada di antara pelajar yang mengenakan tali leher untuk ke kelas walaupun ianya bukan pakaian seragam kami ketika itu!

Mahallat Ali - 5A G1 adalah nombor bilik kami. Selain saya dan Afrizal, Naeman Bestow adalah penghuni tetap bilik kami. Norman Ismail, Mohd Iqbar Othman dan Rudy Irwan ialah penghuni yang bertukar ganti di bilik kami ini. Terlalu banyak perkara suka duka yang terlintas di kepala saya ketika ini membabitkan kami semua. Dari kisah Liga Mulut Emas sehinggalah ke giliran beli lauk setiap hari, kenangan bersama arwah tidak dapat saya lupakan.

Pencapaian akademik beliau hebat, pencapaian kerjaya nya juga cemerlang sekali. Pada usia 33 tahun beliau telah pun mengecapi tangga kerjaya hebat di sektor kerajaan. Melanjutkan pengajiannya di UKM, dalam bidang sains politik, kajiannya menjurus kepada senario semasa politik Malaysia iaitu Isu Lompat Parti.

Saya dan beliau selain dari sebilik, kami juga bermain gamelan di UIAM. Beliau akhirnya dilantik sebagai Presiden Kelab Gamelan dan saya sering bertelagah dengannya mengenai halatuju gamelan sehingga tertubuhnya Dewangga Sakti! Ahhh mana mungkin saya melupakan semua itu. Perbalahan kami yang teruk sebenarnya telah mengukuhkan lagi ikatan persahabatan kami.

Pemikirannya kritis dan mendalam terhadap sesuatu perkara membuatkan buah fikirannya sering menjadi perbualan. Suka mencari bukti hujahan, malah rajin membaca mengukuhkan lagi buah fikirannya. Tidak salah rasanya pilihan Datuk Shaziman Abu Mansur melantik beliau sebagai SUSK nya dahulu.

Saya sering berkata padanya "Zal - aku sangat yakin salah seorang dari kawan - kawan aku yang bakal mendapat pangkat Datuk atas pencapaian hebat ialah kau!" Malangnya...hajat saya tidak kesampaian.

Arwah membawa rakan - rakan Gilera nya untuk meraikan program saya di Berjaya Times Square satu ketika dahulu

Saya tidak tahu susunan tulisan saya kali ini. Saya hanya menulis mengikut hati yang sedih. Saya sangat sedih di atas pemergian sahabat baik saya ini. Dia sering menasihatkan saya dahulu supaya berhati - hati mengunggang motorsikal. Manakan tidak. Setiap kali kami duduk dengan orang lain, pastinya dia akan ceritakan pengalamannya membonceng bersama saya. Saya melakukan aksi 'corner baring' di Bulatan Pahang bersama dia dan dia akan berulang - ulang menceritakan pengalaman seramnya itu. Namun kali ni, motorsikal juga menjadi punca pemergiannya. Saya pasrah dengan ketentuan Allah, Allah lebih menyayanginya.

Kepada rakan - rakan yang mengenalinya, mahupun peserta program Kerjaya yang pernah mengikuti ceramah beliau, 16hb Mei 2011 jenazahnya akan disemadikan di kampungnya - Sesapan Kelubi Beranang lebih kurang pada jam 11 pagi.

Beliau adalah seorang yang sangat berdisiplin, dedikasi pada tugasan bersemangat tinggi. Saya membayangkan beliau bakal memegang jawatan tinggi di negara ini berdasarkan kemampuannya. Namun, Allah lebih mengetahui....

Afrizal Ramlan - kaulah sahabat, kaulah teman, kaulah kawan...Semoga roh mu dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang yang terpilih



Tiada ulasan:

Catat Ulasan