Buku Inggeris Import Tak Laku, Penerbit Buku Melayu yang Dihukum
Orang ramai percaya semua buku Inggeris sangat laku. Mereka percaya semua buku Inggeris dariluar negara habis terjual.
Tidak! Ada buku Inggeris yang sangat laku, ada yang tidak. Malah, sebenarnya di kedai-kedai buku elit banyak stok buku Inggeris luar negara yang tidak dapat dijual.
Stok buku Inggeris yang tidak laku menjadi beban bukan hanya kepada kedai buku, malah kepada penerbit buku Melayu tempatan juga.
Beginilah kisahnya....
Pada masa ini rakaian superstore buku elit meletakkan pengurusan buku Melayu di bawah pengurusan buku Inggeris. Ertinya, mereka belum bersedia menubuhkan Jabatan Buku Melayu yang khusus. Situasi ini menyebabkan berlakunya banyak perkara yang merugikan penerbit buku Melayu tempatan. Yang paling terasa adalah isu kawalan stok.
Kedai buku mesti mengawal stok buku. Jika stok buku terlalu tinggi, ini bermakna kedai buku banyak berhutang kepada pembekal buku seperti PTS. Keadaan ini tidak sihat dari sudut pengurusan kewangan kedai buku.
Bagi mengawal stok, kedai buku akan melakukan beberapa tindakan:
(i) Kedai buku menjadi sangat memilih-milih judul yang mahu diambil dari PTS.
Kalau kedai tidak yakin buku itu laku, dia tidak mahu ambil, walaupun PTS yakin buku itu laku. Kalau PTS tidak yakin, masakan kita belanjakan banyak wang bagi menerbitkan buku itu.
(ii) Kedai tidak mahu memesan banyak naskhah.
Semata-mata kerana tidak mahu menaikkan jumlah hutang kepada pembekal, kedai buku tidak mahu memesan banyak naskhah, walaupun bagi buku yang dia tahu dapat dijual secara 'normal'. Kadang-kdang kedai cuma memesan 10 naskhah, sedangkan PTS tahu buku itu dapat dijual lebih banyak.
Situasi ini menyebabkan kerugian 'lost sale', baik kepada PTS mahupun kepada kedai sendiri. Punca kerugian itu adalah buku sudah habis terjual, pembeli datang hendak membeli, tetapi pesanan untuk bekalan baru belum dihantar kepada PTS ataupun bekalan baru itu belum sampai ke kedai.
(iii) Kedai cepat-cepat memulangkan kepada PTS buku-buku yang tidak bergerak laju.
Kadang-kadang tidak sampai 2 bulan, buku sudah dipulangkan, dan kosnya ditanggung oleh PTS. Malah ada kalanya buku-buku yang dihantar oleh PTS dipulangkan kembali dalam kotak yang tidak dibuka lagi!
Keadaan ini berlaku bukan disebabkan PTS menghantar buku-buku yang tidak laku, tetapi disebabkan pengurusan rangkaian kedai buku elit meletakkan buku-buku Melayu dalam Jabatan Buku Inggeris.
Buku-buku Inggeris diimport dari luar negara. Buku-buku itu dibeli tunai, yakni kalau tidak laku, buku-buku Inggeris itu tidak boleh dipulangkan kepada penerbit luar negara itu. Inilah punca hutang paling besar bagi kedai buku.
Apabila buku Inggeris banyak yang tidak laku, stok buku Inggeris tinggi, maka kedai menanggung banyak 'hutang'. Jalan bagi menurunkan stok buku tak laku adalah dengan memulangkan buku-buku Melayu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan