Khamis, 21 Mei 2009

http://www.darussyifa.org/


Siapa yang tidak kenal dengan Y. Bhg. Dato' Dr Haron Din...Seorang tokoh ulama dan juga pengamal perubatan Islam yang berkredibiliti dan dihormati. Y. Bhg. Dato' dikenali oleh hampir sebahagian besar muslimin di tanah air ini melalui ketokohannya dalam bidang perubatan Islam. Pusat rawatannya yang dikenali sebagai DarusSyifa' menjadi tumpuan muslimin dari segala pelosok tanah air yang memerlukan rawatan perubatan Islam.

Kini, Darussyifa' mengorak langkahnya dalam mewujudkan sebuah laman di alam siber untuk memudahkan capaian oleh seluruh muslimin yang punyai pelbagai persoalan tentang Darussyifa'.

Tentunya jika anda menghadapi masalah yang memerlukan rawatan Islam ini, persoalan yang bermain di fikiran ialah bilakah Y. Bhg. Dato' Haron Din bertugas untuk merawati pesakit? Pukul berapa Y. Bhg. Dato' ada di sana? Perlukah temujanji untuk bertemu dengannya? Apakah yang perlu dibawa sewaktu menerima rawatan? Adakah sebarang bayaran dikenakan?

Semua maklumat berkaitan persoalan ini dipaparkan dengan jelas dan mudah dalam laman ini. Turut dipaprkan juga ialah fadual dan waktu Darussyifa beroperasi dan individu-individu yang terlibat dalam pelaksaan rawatan.

Kerap kali rawatan di Darussyifa' ini menggunakan herba-herba dan tumbuhan-tumbuhan tertentu sebagai penawar kepada masalah dihadapi. Pihak Darussyifa' memahami yang ramai antara kita tidak mengenali jenis-jenis tumbuhan dan herba yang diperlukan serta kesulitan untuk mencari bahan-bahan tersebut di pasaran. Untuk itu, laman ini memaparkan imej-imej tumbuhan tertentu sebagai persediaan untuk dibawa semasa menjalani rawatan.

Buat anda yang tidak tahu atau tidak pasti doa-doa yang boleh dibaca semasa menghadapi apa jua masalah, laman ini memaparkan potongan-potongan ayat-ayat daripada Al-Quran yang boleh dijadikan amalan dan pegangan.

Tidak ketinggalan juga petua-petua tertentu yang boleh diamalkan untuk melindungi diri daripada segala mara bahaya.

Seperti satu perenggan yang dipetik daripada laman tersebut dalam ruangan Koleksi Cerpen:

"Selepas makan malam di rumah Pak Hussin. Azman berpesan kepada Pak Husin supaya membuang pokok ciku yang di tanam di hadapan rumahnya. Ini adalah pesanan Ustaz Haron Din, kerana mengikut pengalaman beliau di pokok ciku makhluk halus suka singgah dan bermain. "


Sememangnya laman ini amat praktikal kerana anda boleh terus mengamalkan panduan dan nasihat didalamnya untuk kebaikan diri dan keluarga anda.

Insha Allah...

www.zaharuddin.net


Ramai antara kita yang seringkali menghadapi masalah berkaitan pelaksanaan amal ibadah harian. Ragu-ragu atas kesahihan pelaksanaannya, tidak pasti samada sah ataupun tidak.

Ada juga yang tidak pasti bagaimana melakukan amal ibadah tertentu dengan tepat dan betul sebagaimana kehendak syarak.

Tak kurang juga antara kita yang ragu-ragu samada sesuatu urusniaga harian itu; statusnya halal atau haram di sisi Islam.

Hendak bertanyakan kepada ustaz terasa segan. Ustaz yang mana untuk bertanya juga tidak tahu siapa.

Oleh itu, apa kata anda layari laman ini: www.zaharuddin.net

Banyak persoalan dan isu terkini yang dikupas dan diulas panjang lebar oleh moderator laman iaitu Ustaz Hj Zaharuddin bin Hj Abd Rahman. Setiap persoalan dan isu yang dirungkai belaiu diindekskan dengan begitu tersusun berdasarkan topik-topik perbincangan.

Menyusuri laman ini seolah-olah membaca suatu teks Islami yang terkini dan segar. Bahasanya mudah dan jelas. Jangan bimbang, anda tidak perlu berkerut dahi membaca jargon Islami yang sukar itu...Malah bagi ramai orang tentunya merasai keselesaan menatapi dan memahami konsep-konsep Feqah yang kadangkala kompleks kerana tuan moderator memudahkan penjelasannya dalam lenggok bahasa yang ringkas tapi padat.

Anda juga kemungkinan besar tidak perlu menghantar soalan kepada tuan moderator kerana ruangan "Soal Jawab dan Isu Pilihan" telah merekod semua soalan dan jawaban bagi soalan-soalan yang lalu. Kadangkala menyusuri ruangan ini seolah-olah membaca soalan-soalan spot dan soalan-soalan cepu emas yakni soalan yang memang kerap ditanya umum. Jika perlu juga bersoal jawab dengan Ustaz? Jangan bimbang...gunakan shoutbox di laman tersebut ataupun ikut bersama dalam Yahoo Group tuan moderator.

Yang menariknya laman ini menggunakan 3 medium bahasa! Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, dan Bahasa Arab! Jarang ada laman berbentuk ilmu yang berbentuk sedemikian.

Dari segi persembahan grafik, penggunaan jenis font dan saiznya, laman ini memang menepati kehendak semasa yang suka kepada laman yang tidak terlalu terang dan warna-wani rupanya dan juga tidak dull.

Sebuah laman yang amat bermanfaat dan disyorkan agar dibookmarkkan kepada PC anda..kerana mana tahu jika datang suatu hari nanti yang anda teragak-agak dan sangat ragu-ragu hukum pinjaman kenderaan secara konvensional dan bukannya Islami...Halal atau Haram ye?

Isu biasiswa, polemik kaum dan pendidikan tinggi


Disalin daripada: http://www.themalaysianinsider.com

MEI 21 — Selasa lepas saya dijemput menjadi panelis di forum tentang biasiswa JPA dan mencari sebuah dasar yang adil dan saksama. Panelis lain terdiri daripada Lim Kit Siang, Dr Dzulkifli Ahmad, Tony Pua dan Anthony Loke.

Empat tahun lalu, ketika kedua-dua saya dan Jeff Ooi belum lagi menjadi wakil rakyat, cuma blogger, saya menulis kepada Jeff Ooi:

“The fiasco of SPM high achievers being overlooked by the authorities in the awarding of scholarship can now be gauged like clockwork. Each year, as the authorities announce the list of scholarship recipients we can see a huge brouhaha among the public.”

Sememangnya hampir setiap tahun selepas keluarnya keputusan SPM dan biasiswa JPA, isu biasiswa akan menggamit perhatian masyarakat. Memandangkan isu ini melibatkan pendidikan harapan generasi muda kita, perkara ini tidak mengejutkan.

Di dalam forum tersebut, saya tekankan isu pokok ialah perlunya sebuah sistem yang telus dan jelas. Biasiswa belajar ke luar negara merupakan suatu keistimewaan bukannya hak. Kini begitu ramai pelajar yang mendapat 10A1 atau lebih di dalam SPM, sedangkan peluang biasiswa ke luar negara adalah terhad. Lebih penting lagi, isu biasiswa ini tidak boleh dilihat secara berasingan daripada isu pendidikan tinggi negara.

Saya menggesa orang ramai yang hadir di forum tersebut tidak melihat isu biasiswa ini daripada kacamata kaum. Tidak dinafikan, isu ini berhubungkait dengan polemik kaum yang sering mendasari apa-apa pertikaian di Malaysia. Ada kes-kes pelajar-pelajar Melayu yang juga mendapat keputusan yang baik, dan dinafikan biasiswa.

Jika dilihat dari sudut sejarah, sememangnya lahirnya kelas menengah Melayu hari ini banyak terhutang budi kepada peluang-peluang biasiswa yang dibuka secara meluas selepas Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan. Saya tahu, kerana bapa saya merupakan Pengarah Latihan JPA pada waktu itu, dan sering menceritakan bagaimana beliau akan menghadap Tun Tan Siew Sin, Menteri Kewangan pada waktu itu dalam usaha menambah perbelanjaan untuk biasiswa JPA. Beliau mengunjungi pelbagai negara bagi berunding tempat di universiti universiti antarabangsa bagi menghantar pelajar-pelajar negara.

Penekanan agresif ini telah menyumbang kepada pembangunan negara yang kita nikmati hari ini. Tetapi kejayaan dasar ini sendiri menyebabkan kita perlu pendekatan baru. Majoriti besar Melayu dan Bumiputera yang mendapat biasiswa hari ini dari keluarga kelas menengah, termasuk saya sendiri. Anak-anak Melayu dari golongan nelayan, pekerja dan petani teramat jarang mendapat peluang ini.

Di samping itu, seperti mana esei yang saya tulis untuk the Edge beberapa tahun lepas, sistem biasiswa khususnya di kalangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah mengakibatkan kebanyakan cerdik pandai Melayu muda terkumpul di dalam GLC-GLC. Ini mengeruhkan kekurangan profesional-profesional Melayu di dalam syarikat-syarikat multinasional ataupun syarikat-syarikat swasta lain di negara kita. Ini menambahkan lagi polarisasi kaum di antara GLC dan sektor swasta. Banyak GLC tidak menggunakan sepenuhnya kebolehan mereka. Pada masa yang sama sistem biasiswa JPA kita juga tidak dipadankan sepenuhnya dengan sistem Pegawai Tadbir Diplomatik negara kita, menyebabkan ramai pelajar tajaan JPA Melayu dan bukan Melayu yang bukan sahaja tidak berkhidmat dengan kerajaan, malah bekerja di luar negara. Sebagaimana dimaklumkan Tony, di Singapura berbeza kerana penerima biasiwa mereka menyertai perkhidmatan pentadbiran republik tersebut.

Tetapi mengkritik mereka sebagai tidak mengenang budi atau tidak patriotik tidak menyelesaikan masalah. Kita mesti menarik mereka pulang dengan sistem yang lebih dinamik dan fleksibel. Malah pengalaman mereka bekerja di luar negara boleh menambah nilai kepada mereka bagi pulang selepas itu untuk menyumbang kepada negara. Pada masa yang sama, jika ada yang bertekad untuk tidak berkhidmat dengan penaja dengan membayar semula tajaan tersebut, kita sepatutnya mempertimbangkannya. Walaubagaimanapun, melarikan diri tanpa berita bukanlah sesuatu tindakan jujur memandangkan kita telah mendapat manfaat daripada biasiswa tersebut.

Rata-rata masalah dibangkitkan tentang bagaimana kriteria pemilihan pelajar bagi biasiswa JPA ini tidak telus. Pelaksanaan temuduga juga kurang memuaskan, berbeza dengan temuduga beberapa GLC yang saya sendiri maklum teramat kompetitif dan efisyen. Tambahan pula dasar biasiswa kini terlalu reaktif, bukannya proaktif. Selang beberapa tahun, sistemnya diubah mengikut iklim politik. Kita boleh menerima bahawa perubahan tidak boleh dibuat terlalu radikal atau tergesa-gesa, tetapi perlu ada road map atau halatuju jangka masa sederhana dan panjang bagaimana sistem ini boleh direformasikan. Mengekalkan sistem yang sedia ada bukanlah opsyen.

Kita juga mesti mula memperluaskan skop pembelajaran bagi pelajar-pelajar yang ditaja. Terlalu banyak penekanan agar pelajar-pelajar yang cerdik pandai menjadi doktor, jurutera, akauntan dan peguam sedangkan bidang sastera, kemanusiaan, sains sosial, keagamaan dan sains tulen terabai. Bagaimana nak lahirkan pemenang anugerah Nobel?

Akhirnya, isu biasiswa ini mesti dilihat dalam konteks pendidikan tinggi di Malaysia. Jangan kita lupa ramai pelajar-pelajar, termasuk pelajar-pelajar Melayu yang dahulu mudah mendapat biasiswa di IPTA, kini berharapkan pinjaman PTPTN yang mempunyai masalah tersendiri. Kita juga perlu mengimbangi menghantar pelajar ke luar negara dan melabur di dalam sistem pentadbiran tinggi Malaysia agar dapat bersaing dengan IPT-IPT antarabangsa. Jika kita terlalu obses dengan isu biasiswa sehingga terlupa konteks pendidikan tinggi, negara kita akan terus dilanda masalah.

Dr Goh Cheng Teik, bekas Timbalan Menteri dari Gerakan yang juga di dalam panel temuduga Universiti Harvard di Malaysia menceritakan bagaimana pada tahun 1950an dan 60an, Universiti Malaya begitu berprestij sehingga menjadi pilihan pertama pada waktu itu. Beliau sendiri tidak terpilih ke UM, barulah mencuba nasib masuk ke Harvard pada waktu itu! Saya mengimpikan era di mana rakyat Malaysia cuma ke luar negara hanya apabila tidak dapat ke UM, UKM, UITM atau UIA!

Semua pihak perlu bersedia melihat isu pendidikan di luar konteks kaum. Namun demikian BN telah menjadikan isu ini isu kaum. Setiap tahun, sebagaimana kata Tony, MCA akan berfungsi sebagai “Medium of Complaints and Appeals”. Pemimpin Umno akan meminta MCA jangan kecoh. Kini, selepas Makkal Sakti 8 Mac 2008, kaum India yang mendapat keputusan cemerlang pula dijanjikan biasiswa namun sampai hari ini janji tinggal janji.

Jika kerajaan tidak bersedia melihat isu ini daripada konteks modal insan, bukannya kaum — bagi membolehkan pelajar paling cemerlang di samping membantu yang perlu bagi menyumbang kepada pembangunan negara — negara kita akan terus kecundang. Semua rakyat tanpa mengira kaum akan merana. Lebih ramai rakyat Malaysia termasuk orang Melayu akan ke Singapura, Australia, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Qatar, Dubai dan Jepun. Wang negara kita disumbang untuk pembangunan negara-negara maju ini, sedangkan sistem kita terus merosot.

Sebagaimana tegas Dr Dzulkifli — meritokrasi dan keadilan adalah ajaran Islam!

Rabu, 20 Mei 2009

Masjid Moden

Masjid Al-Ghufran bukan masjid biasa. Ada kamar musafir dengan kemudahan bertaraf hotel dan lebih menarik, sebuah kafe yang digerakkan oleh jawatankuasa masjid turut tersergam indah.




MASJID kini bukan sekadar tempat untuk beribadat. Seiring dengan peredaran zaman, peranan masjid juga berubah mengikut kesesuaiannya yang tersendiri.

Namun, ia bukan bermaksud untuk menukar masjid menjadi tempat yang tidak sepatutnya sehingga mencemari kesucian rumah Allah dalam kalangan penganut agama Islam.

Sebaliknya, ia bertujuan untuk mengimarahkan masjid yang kebiasaannya hanya dianggap sebagai tempat untuk bersolat semata-mata.

Menyedari hakikat pentingnya meningkatkan peranan masjid ke arah tujuan yang lebih besar, jawatankuasa pentadbiran Masjid Al-Ghufran di pinggir Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur boleh dicontohi oleh kebanyakan masjid di Malaysia.

Di masjid itu, terdapat pelbagai aktiviti berbentuk keagamaan dan kemasyarakatan, selain daripada menyediakan kemudahan tertentu yang boleh disewa atau digunakan oleh pihak yang berkenaan.

Antaranya adalah Sekolah Rendah Agama Balai Islam (SERAMBI) yang mempunyai 200 pelajar dari darjah satu hingga darjah enam, kemudahan kamar musafir untuk penginapan, dewan persidangan bagi majlis rasmi, bilik mesyuarat, dewan makan dan sebagainya.

Terbaru, jawatankuasa masjid itu melancarkan pembukaan Cafe Al-Ghufran sekali gus menjadi kafe pertama di sebuah masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kafe itu diwujudkan bagi mengumpul dana masjid dan dibina dengan kos bernilai RM180,000. Ia mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan.
KIRI: SALAH satu kamar musafir yang terdapat di masjid.

TENGAH: CAFE Al-Ghufran diwujudkan untuk menambah dana pendapatan masjid.

KANAN: RUANG untuk mimbar dan tempat solat imam dipenuhi ukiran.


Berkonsepkan tradisional Melayu, kafe itu menyediakan pelbagai menu istimewa seperti ikan bakar, nasi lemak ayam kampung, masakan tempatan dan kuisin barat.

Kafe itu telah dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada 9 Mei lalu.

Dalam ucapannya, Raja Nong Chik memuji langkah yang diambil oleh pihak pengurusan masjid untuk mengumpul dana melalui pembukaan sebuah kafe.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Ghufran, Hassanuddin Ali, 68, berkata, semua itu dilakukan untuk menunjukkan bahawa fungsi masjid kini semakin meluas.

"Bagi saya, setiap masjid perlu diimarahkan dan sentiasa mempunyai aktiviti. Selain itu, ia juga perlu berdikari dan dalam hal ini, sesebuah masjid seharusnya mempunyai dana sendiri yang boleh digunakan untuk menyemarakkan lagi fungsinya.

"Justeru, Masjid Al-Ghufran ini perlu menjadi sebuah masjid yang sentiasa aktif dalam menyediakan pelbagai kemudahan terkini untuk ahli kariah dan orang luar yang mahukannya.

"Masjid ini mempunyai enam aras lantai. Setiap aras dilengkapi dengan kemudahan seperti pejabat, dewan solat, rumah kakitangan (imam, siak dan lain-lain), sekolah, dewan persidangan, bilik mesyuarat, kamar musafir dan juga restoran atau kafe," jelas Hassanuddin ketika ditemui Kosmo! di Masjid Al-Ghufran baru-baru ini.


KIRI: SUASANA kafe yang dilimpahi cahaya pada waktu malam.

TENGAH: DEKORASI kafe ini bercirikan Melayu tradisional.

BAWAH: KAMAR musafir disediakan untuk golongan berpendapatan rendah.





Menurut Hassanuddin lagi, kelengkapan dan kemudahan yang disediakan itu secara tidak langsung menyumbang kepada pendapatan masjid dan ia banyak membantu jawatankuasa untuk melaksanakan sesuatu program.

"Syukur, setakat ini Masjid Al-Ghufran tidak pernah sunyi daripada pelbagai aktiviti yang dianjurkan termasuk menerima tempahan daripada pihak luar yang menyewa kemudahan seperti kamar musafir, dewan persidangan, bilik mesyuarat dan sebagainya.

"Hasil yang diperoleh akan disimpan sebagai dana untuk keperluan masjid pada masa hadapan," ujar Hassanuddin yang dilantik menjadi Pengerusi Masjid pada tahun 1998.

Untuk penginapan kamar musafir, terdapat 24 bilik disediakan dengan empat daripadanya adalah jenis suite, lima bilik VIP, empat bilik keluarga dan 11 kamar bujang.

Suite Al-Firdaus yang mempunyai tiga bilik contohnya, boleh memuatkan 10 orang dan kadar sewanya adalah sebanyak RM220 semalam. Suite An-Naim juga mempunyai tiga buah bilik, tetapi untuk penginapan lapan orang berharga RM180.


TERDAPAT pelbagai menu yang boleh dinikmati di Cafe Al-Ghufran.





Suite Al-Ma'wa dan Suite Al-Adnin, masing-masing mempunyai dua bilik dan boleh memuatkan enam dan lima orang. Kedua-duanya berharga RM160 dan RM140 untuk penginapan satu malam. Bagi kategori VIP, keluarga dan bujang pula, masing-masing berharga antara RM90 hingga RM60.

Semua bilik penginapan itu mempunyai kemudahan penghawa dingin, bilik mandi, alat pemanas, tuala, televisyen, meja makan, meja solek dan sebagainya.

Tidak ketinggalan, ia turut dilengkapi dengan sistem wifi yang membolehkan penyewa mengakses Internet secara percuma.

Tambah Hassanuddin, masjid tersebut juga memiliki empat bilik persidangan yang berbeza saiz untuk disewa kepada orang luar yang berminat.

"Dewan paling besar boleh memuatkan 140 orang. Ini diikuti dewan persidangan yang boleh mengisi seramai 50, 40 dan 30 orang. Semuanya berharga antara RM100 hingga RM400 satu dewan.

"Terletak di aras dua pula adalah dewan dan bilik mesyuarat yang dilengkapi dengan kemudahan projektor LCD, sistem PA, meja dan kerusi," katanya sambil memaklumkan bahawa pada setiap minggu, ada sahaja pihak yang menyewa kemudahan di Masjid Al-Ghufran untuk mengadakan seminar atau kursus.

Ditanya mengenai sejarah awal penubuhan masjid itu, Hassanuddin berkata, ia telah didaftarkan dengan nama Surau Balai Islam di bawah pengawasan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 6 April 1993.

"Dengan hasil sumbangan individu tertentu terutama golongan korporat, Surau Balai Islam telah diubahsuai sejajar dengan peningkatan peranannya mulai tahun 1998.

"Pada 4 April 2000, surau ini dinaik taraf sebagai masjid dan diberi nama Masjid Al-Ghufran. Nama Al-Ghufran yang bermaksud keampunan, telah diberikan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Hashim Yahya," jelas Hassanuddin yang juga bekas ahli korporat sambil menambah bahawa, masjid ini didirikan di atas tanah yang diwakafkan seluas 26,000 kaki persegi.

Sebarang maklumat mengenai kemudahan sewaan di masjid ini, sila layari laman web www.masjidalghufran.com.my atau http://masjidalghufran.tripod.com.

Selasa, 19 Mei 2009

Komunikasi dengan anak


Disalin daripada blog Bonda Nelli: http://blogs.iium.edu.my/martinelli

Sambungan dari entri sebelum ini…


Pada hari jadi ke 16 anak kedua saya, kami berdua berbual hingga larut malam. Perbualan antara ibu dan anak yang selalu terpisah kerana anak belajar di asrama. Kami sama2 menikmati kehadiran masing2. Waktu itu jam 2.00pagi dan semua ahli rumah sudah pun tidur. Anak inilah yang pernah membuat langkah saya terhenti kerana tangisannya apabila ditinggalkan untuk ke pejabat. Sudah lebih 3 jam kami berbual dari satu topik ke satu topik dan tidak ketinggalan topik tentang cinta remajanya. Pada topik terakhir saya bertanya, ” Angah tahu tak ibu selalu rasa bersalah tinggalkan anak setiap hari, kadang2 balik lambat, kadang2 outstation. Ibu rasa nak berhenti kerja.” Jawapan dari sianak ”Ibu jangan berhenti. Apa yang ibu dah buat untuk anak2 ibu dah cukup perfect. Walaupun angah duduk di asrama, tapi ibulah yang paling banyak mempengaruhi angah, bukan cikgu, bukan sekolah dan bukan kawan2. Angah nak cari awek macam ibu?”


Semasa menghartarnya mendaftar diri di Matrik UIA, saya bertanya apa tekad dia bila dah masuk UIA, diterus menjawab dalam gurauan” Nak cari pengganti awek lama. Nak cari awek macam ibu.” Saya kata “Betulkan niat dulu.”


Tiga hari kemudian dia menghantar sms “Mission accomplished. Angah dah jumpa, orangnya ” . Saya jawab, “Ingat! no dating, no touching, no coupling. Jaga batas syariat.”


Sekadar melayan kisah anak2 dan cinta2 monyetnya yang panjangnya pun biasanya cuma sepanjang ekor monyet juga.

Jika anda seorang ibu

Tahukah anda lebih 90% anak2 remaja Melayu merasakan mereka gagal berterus terang dengan ibu kerana ibu tidak mampu merobohkan jurang komunikasi dengan anak. Adakalanya kerana ego ibu yang merasakan mereka lebih faham tentang perasaan anak, anak menjadi mangsa tindakan terburu2 ibu yang tidak memberi kesempatan kepada anak untuk memberi pandangan.


Pernyataan ini bukan saja dibuat oleh anak2 remaja bermasalah, tetapi juga oleh remaja yang baik akhlaknya. Anak2 yang baik ini biasanya terpaksa memendam perasaan kerana takut ibunya marah dan tidak mahu digelar derhaka. Biasanya anak2 perempuanlah yang paling berat menanggung masalah ini. Dalam hati mereka merintih supaya ibu menjadi sahabat yang paling baik dalam hidupnya.


Syurga di bawah tapak kaki ibu amat dalam maknanya. Ibu yang solehah akan amat berhati2 dengan kuasa tapak kakinya. Kasih ibu melampaui alam dunia kerana dia bukan saja mahu anaknya bahagia di dunia tetapi lebih dari itu biarlah juga anaknya nanti selamat di akhirat. Senakal mana anak kita sewaktu kecil, dengan penuh gembira kita akan memaafkannya. Apabila si anak besar dan apabila perkara yang menyinggung perasaan ibu, masihkah kita mampu bersabar dan berdoa, “Ya Allah, janganlah hukum anakku atas perbuatannya menyakiti hatiku sebentar tadi”.


Dalam dunia yang serba kelam-kabut ini ramai ibu yang suka melayan perasaan marah terhadap anak sehingga terlupa kemarahan itu bukan saja akan membawa anak ke neraka, malah sepanjang tempoh kemarahan itu, apa yang dilakukan anak akan terhindar dari redha Allah sehinggalah siibu dapat memaafkannya. Bayangkanlah kehidupan tanpa redha Allah, walaupun seminit seorang manusia beriman akan merasa resah gelisah. Apatah lagi sekiranya pertelingkahan antara anak dan ibu berpanjangan.


Saya pernah mendengar jawapan seorang ibu yang sedang sibuk didapur apabila ditanya kenapa dia tidak meminta anak –anak membantunya. Katanya ”Sengaja saya tidak tidak menyuruhnya takut kalau dia menolak, saya akan tersinggung dan takut nanti anak saya dicop oleh Allah sebagai anak derhaka.”


Apapun interpretasi orang tentang tindakan ibu itu, pokoknya, ibu itu amat berhati2 menjaga anaknya. Logiknya, masa anak kita kecil kita tersangat berhati2 menjaga keselamatannya, bila sudah besar tentulah kita mahu dia terus bahagia hingga ke akhirat.


Sebuah cerita rakyat Jepun yang boleh kita kongsi

Ada seorang ibu tua yang amat miskin dan lemah tinggal bersama anak lelakinya. Disebabkan terlalu miskin, sianak merasakan sudah tidak mampu menjaga ibunya kerana dia pun perlu bekerja untuk mencari makan. Dia memutuskan untuk membuang ibunya ke dalam hutan. Si ibu digendong dengan kain di belakang dan berjalanlah si pemuda menuju hutan. Sepanjang perjalanan si ibu memegang ranting kayu. Ranting itu dipatahkan kecil2 dan dicicirkan satu demi satu sepanjang perjalanan.

Apabila sampai di tengah hutan si anak menurunkan ibunya dan memohon pengertian tentang niatnya hendak meninggalkan sang ibu di situ.

Tanpa sebarang bantahan ibu menjawab ”Pulanglah, nak. Tinggalkanlah ibu di sini. Sepanjang perjalanan tadi ibu ada menjatuhkan ranting kayu yang ibu patah-patahkan. Ikutlah ranting2 itu supaya nanti kamu tidak sesat jalan pulang.”

Si anak tergamam mendengar kata2 lembut ibunya, terus memeluk ibunya sambil menangis teresak2 menginsafi kesalahannya. Si ibu digendong semula dan dibawa pulang. Ia menjaga ibunya sampai ke akhir hayat.

Masa dan kesempatan membalas jasa ibubapa sebenarnya sangat pendek. Masa menikmati kemanjaan anak juga tidak lama. Kesempatan yang sedikit yang diberikan Allah gunakanlah semeksimanya agar tiada kesal dikemudian hari.


Pesanan yang biasa saya berikan kepada anak2 “Janganlah sakiti hati ibu kerana ibu takut hilang kemampuan untuk memaafkan kamu dengan segera.Kalaupun sekarang ibu dapat maafkan, tetapi tidak mustahil sewaktu ibu nazak nanti iblis akan memperlihatkan peristiwa kamu menyakiti ibu dan pada masa itu perasaan marah ibu datang kembali. Dalam keadaan tengah marah takut tiba2 nayawa ibu putus sebelum sempat memaafkan kamu. Tanpa maaf ibu seorang anak tidak akan mencium bau syurga”


Ini adalah coretan terakhir saya sebelum bertolak ke Tanah Suci. Insya Allah saya akan pergi pada hari Khamis 14/5/2009.


Ya Allah, berkatilah mereka yang membaca coretan ini. Amin.

Khamis, 7 Mei 2009

Nikmat dan Derita Menjadi Ibu


Disalin daripada blog Bonda Nelli: http://blogs.iium.edu.my/martinelli

Dua puluh tahun yang lalu langkah saya pernah terhenti dalam perjalanan ke tempat kerja kerana sukar menghilangkan bayangan wajah anak yang menangis meronta2 di muka pintu kerana tidak mahu ditinggalkan sebentar tadi. Deraian air mata si kecil yang baru berumur 3 tahun sudah cukup melemahkan semangat untuk meneruskan perjalanan. Apabila pulang ke rumah si kecil akan menunggu di depan pintu yang sama sambil melompat2 tanda kegembiraan bersama kakaknya yang hanya setahun lebih tua. Eratnya tangan anak merangkul seolah2 dia sudah menunggu seratus tahun untuk bertemu dengan ibunya. Suasana begitu berlanjutan bertahun2 sampai anak ke enam.


Dalam hati saya berkata “ Ya Allah betapa beratnya perasaan yang dialami anakku setiap hari. Penderitaan yang dia saja yang tahu. Apakah suatu hari nanti suasana akan terbalik? Dia keluar bekerja dan aku menantinya pulang dengan penuh kerinduan sedangkan rindu itu adalah penderitaan”.


Selepas anak2 besar dan kini memang benar perkara yang dibayangkan itu benar2 berlaku. Bermula dengan pemergian ke asrama. Selepas itu seorang demi seorang meneruskan pengajian. Lima orang sudah berlalu dan kini yang bongsu pula akan menyusul. Menanti kepulangan anak itu adalah satu kesakitan yang tidak dimengerti oleh anak..


Rupanya nikmat yang amat besar bagi seorang ibu ialah apabila anak2 berada selamat dalam pelukannya.

Jika anda seorang anak, fahamilah hakikat berikut.

Nikmat melihat kejayaan anak hanyalah bonus kerana hanya sebahagian ibu saja yang mendapatnya. Setinggi dan sebesar manapun anak itu kini, tetapi di mata ibu anaknya masih si comel yang baru belajar bertatih. Anak itu akan dipeluk apabila berjaya berjalan. Perasaan bahagia memeluk anak tidak akan terhenti walaupun si anak sudah besar panjang.


Penderitaan yang amat menyakitkan malah melebihi sakit bersalin ialah derita apabila diabaikan oleh anak atau apabila anak sudah tidak lagi mendengar kata2 ibu. Sakit bersalin akan hilang sejurus melihat wajah anak. Sakit rindukan anak juga akan terubat hanya apabila ada anak di sisi. Tetapi sakit apabila perasaan dilukakan anak kerana keingkarannya adalah lebih berbisa dari segalanya. Mungkin inilah sebabnya hukuman Allah begitu berat untuk dosa mengingkari ibu.


Derita si anak adalah derita ibu. Derita ibu belum tentu dirasai oleh anak.

Sebenarnya ada kontrak perjanjian yang tidak bertulis antara anak dan ibu.

”Ibu bersetuju untuk menempuh segala kesakitan dan kesusahan mengandung, bersalin dan membesarkan anak. Sebagaimana si anak bersetuju tanpa bantahan apa saja yang dilakukan ibu terhadapnya sewaktu dia masih bayi, maka apabila dia besar ia harus setuju untuk tidak menderhaka. Imbuhan kepada persetujuan ini adalah nikmat dunia dan nikmat akhirat. Sebaliknya sebarang pencabulan terhadap kontrak, neraka akan menanti”

Dalam kontrak ini tidak menyebut ibu wajib menjadi sahabat anak. Ini bermakna sekiranya ibu mempunyai ciri2 seorang sahabat itu adalah bonus untuk anak. Sekiranya ibu tidak mempunyai ciri itu atau ciri2 lain yang diimpikan oleh anak, sianak tidak boleh menuntutnya. Dalam kata lain anak tidak boleh mempersoalkan ciri yang ada pada ibu.

Memiliki ibu yang sangat memahami dan selari dengan cita rasa adalah nikmat dan sekiranya sebaliknya, itu adalah ujian pada anak. Ujian perlu ditempuh dan perlu lulus dengan sempurna bukan lulus bersyarat.


Walaupun ibu diberikan keistimewaan dalam Islam, namun tidak semua ibu bernasib baik mendapat anak2 yang ada kesedaran tinggi terhadap tanggungjawab. Berapa ramai ibu yang menderita menahan perasaan semata-mata kerana gelagat anak yang tidak selari dengan apa yang diharapkan oleh ibu. Berapa ramaikah anak2 yang sedar bahawa ucapan ”Ish, mak ni tak fahamlah!” adalah cukup menyakitkan perasaan ibu. Bukankah dengan hanya kerana sepatah perkataan ”ah” oleh anak boleh menyebabkan anak masuk neraka.


Harapan ibu kadangkala disimpan dalam hati atau hanya dinyatakan secara tidak langsung. Contohnya, dapatkah si anak membaca senarai ciri2 seorang menantu yang ada dalam kepala ibu? Yang pastinya dalam senarai itu kesemua ciri2 yang dibayangkan adalah supaya anaknya bahagia dan hatinya tidak disakiti. Si anak pula hanya akan tahu ciri2 yang diingini ibu hanya selepas mengetahui ibu menolak atau menyetujui calon yang dikemukakan.


Ibu biasanya akan terluka apabila ia diberitahu hanya apabila si anak sudah membuat keputusan tentang pilihannya. Anak pula akan terluka apabila ibu terlalu berkeras dengan pendapatnya. Kelukaan ibu dan anak kadang2 membawa padah dalam kehidupan si anak seterusnya, hatta walaupun sekiranya satu hari nanti luka ibu sudah terubat apabila menantu yang tidak disukainya pada awalnya rupanya jauh lebih baik dari yang dia sangka. Kelukaan yang pernah dialami walaupun sudah hilang dan anak sudah diampunkan, kehidupan anak masih terjejas

Banyak kes2 rumahtangga bermasalah berpunca dari kengganan ibu merestui pilihanan anaknya pada peringkat awal hatta walaupun selepas itu si ibu amat menyayangi menantunya.

Betapa pentingnya redha dan doa seorang ibu yang solehah secara berterusan untuk kebahagiaan anak masa depan.


Jika anda seorang ibu…..bersambung pada entri yang lain


Imej disalin daripada: http phototreksemenanjung.files.wordpress