Rabu, 20 Mei 2009

Masjid Moden

Masjid Al-Ghufran bukan masjid biasa. Ada kamar musafir dengan kemudahan bertaraf hotel dan lebih menarik, sebuah kafe yang digerakkan oleh jawatankuasa masjid turut tersergam indah.




MASJID kini bukan sekadar tempat untuk beribadat. Seiring dengan peredaran zaman, peranan masjid juga berubah mengikut kesesuaiannya yang tersendiri.

Namun, ia bukan bermaksud untuk menukar masjid menjadi tempat yang tidak sepatutnya sehingga mencemari kesucian rumah Allah dalam kalangan penganut agama Islam.

Sebaliknya, ia bertujuan untuk mengimarahkan masjid yang kebiasaannya hanya dianggap sebagai tempat untuk bersolat semata-mata.

Menyedari hakikat pentingnya meningkatkan peranan masjid ke arah tujuan yang lebih besar, jawatankuasa pentadbiran Masjid Al-Ghufran di pinggir Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur boleh dicontohi oleh kebanyakan masjid di Malaysia.

Di masjid itu, terdapat pelbagai aktiviti berbentuk keagamaan dan kemasyarakatan, selain daripada menyediakan kemudahan tertentu yang boleh disewa atau digunakan oleh pihak yang berkenaan.

Antaranya adalah Sekolah Rendah Agama Balai Islam (SERAMBI) yang mempunyai 200 pelajar dari darjah satu hingga darjah enam, kemudahan kamar musafir untuk penginapan, dewan persidangan bagi majlis rasmi, bilik mesyuarat, dewan makan dan sebagainya.

Terbaru, jawatankuasa masjid itu melancarkan pembukaan Cafe Al-Ghufran sekali gus menjadi kafe pertama di sebuah masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kafe itu diwujudkan bagi mengumpul dana masjid dan dibina dengan kos bernilai RM180,000. Ia mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan.
KIRI: SALAH satu kamar musafir yang terdapat di masjid.

TENGAH: CAFE Al-Ghufran diwujudkan untuk menambah dana pendapatan masjid.

KANAN: RUANG untuk mimbar dan tempat solat imam dipenuhi ukiran.


Berkonsepkan tradisional Melayu, kafe itu menyediakan pelbagai menu istimewa seperti ikan bakar, nasi lemak ayam kampung, masakan tempatan dan kuisin barat.

Kafe itu telah dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada 9 Mei lalu.

Dalam ucapannya, Raja Nong Chik memuji langkah yang diambil oleh pihak pengurusan masjid untuk mengumpul dana melalui pembukaan sebuah kafe.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Ghufran, Hassanuddin Ali, 68, berkata, semua itu dilakukan untuk menunjukkan bahawa fungsi masjid kini semakin meluas.

"Bagi saya, setiap masjid perlu diimarahkan dan sentiasa mempunyai aktiviti. Selain itu, ia juga perlu berdikari dan dalam hal ini, sesebuah masjid seharusnya mempunyai dana sendiri yang boleh digunakan untuk menyemarakkan lagi fungsinya.

"Justeru, Masjid Al-Ghufran ini perlu menjadi sebuah masjid yang sentiasa aktif dalam menyediakan pelbagai kemudahan terkini untuk ahli kariah dan orang luar yang mahukannya.

"Masjid ini mempunyai enam aras lantai. Setiap aras dilengkapi dengan kemudahan seperti pejabat, dewan solat, rumah kakitangan (imam, siak dan lain-lain), sekolah, dewan persidangan, bilik mesyuarat, kamar musafir dan juga restoran atau kafe," jelas Hassanuddin ketika ditemui Kosmo! di Masjid Al-Ghufran baru-baru ini.


KIRI: SUASANA kafe yang dilimpahi cahaya pada waktu malam.

TENGAH: DEKORASI kafe ini bercirikan Melayu tradisional.

BAWAH: KAMAR musafir disediakan untuk golongan berpendapatan rendah.





Menurut Hassanuddin lagi, kelengkapan dan kemudahan yang disediakan itu secara tidak langsung menyumbang kepada pendapatan masjid dan ia banyak membantu jawatankuasa untuk melaksanakan sesuatu program.

"Syukur, setakat ini Masjid Al-Ghufran tidak pernah sunyi daripada pelbagai aktiviti yang dianjurkan termasuk menerima tempahan daripada pihak luar yang menyewa kemudahan seperti kamar musafir, dewan persidangan, bilik mesyuarat dan sebagainya.

"Hasil yang diperoleh akan disimpan sebagai dana untuk keperluan masjid pada masa hadapan," ujar Hassanuddin yang dilantik menjadi Pengerusi Masjid pada tahun 1998.

Untuk penginapan kamar musafir, terdapat 24 bilik disediakan dengan empat daripadanya adalah jenis suite, lima bilik VIP, empat bilik keluarga dan 11 kamar bujang.

Suite Al-Firdaus yang mempunyai tiga bilik contohnya, boleh memuatkan 10 orang dan kadar sewanya adalah sebanyak RM220 semalam. Suite An-Naim juga mempunyai tiga buah bilik, tetapi untuk penginapan lapan orang berharga RM180.


TERDAPAT pelbagai menu yang boleh dinikmati di Cafe Al-Ghufran.





Suite Al-Ma'wa dan Suite Al-Adnin, masing-masing mempunyai dua bilik dan boleh memuatkan enam dan lima orang. Kedua-duanya berharga RM160 dan RM140 untuk penginapan satu malam. Bagi kategori VIP, keluarga dan bujang pula, masing-masing berharga antara RM90 hingga RM60.

Semua bilik penginapan itu mempunyai kemudahan penghawa dingin, bilik mandi, alat pemanas, tuala, televisyen, meja makan, meja solek dan sebagainya.

Tidak ketinggalan, ia turut dilengkapi dengan sistem wifi yang membolehkan penyewa mengakses Internet secara percuma.

Tambah Hassanuddin, masjid tersebut juga memiliki empat bilik persidangan yang berbeza saiz untuk disewa kepada orang luar yang berminat.

"Dewan paling besar boleh memuatkan 140 orang. Ini diikuti dewan persidangan yang boleh mengisi seramai 50, 40 dan 30 orang. Semuanya berharga antara RM100 hingga RM400 satu dewan.

"Terletak di aras dua pula adalah dewan dan bilik mesyuarat yang dilengkapi dengan kemudahan projektor LCD, sistem PA, meja dan kerusi," katanya sambil memaklumkan bahawa pada setiap minggu, ada sahaja pihak yang menyewa kemudahan di Masjid Al-Ghufran untuk mengadakan seminar atau kursus.

Ditanya mengenai sejarah awal penubuhan masjid itu, Hassanuddin berkata, ia telah didaftarkan dengan nama Surau Balai Islam di bawah pengawasan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 6 April 1993.

"Dengan hasil sumbangan individu tertentu terutama golongan korporat, Surau Balai Islam telah diubahsuai sejajar dengan peningkatan peranannya mulai tahun 1998.

"Pada 4 April 2000, surau ini dinaik taraf sebagai masjid dan diberi nama Masjid Al-Ghufran. Nama Al-Ghufran yang bermaksud keampunan, telah diberikan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Mohd. Hashim Yahya," jelas Hassanuddin yang juga bekas ahli korporat sambil menambah bahawa, masjid ini didirikan di atas tanah yang diwakafkan seluas 26,000 kaki persegi.

Sebarang maklumat mengenai kemudahan sewaan di masjid ini, sila layari laman web www.masjidalghufran.com.my atau http://masjidalghufran.tripod.com.

1 ulasan:

  1. Aku pernah berurusan dengan haji ni..
    memang hebat orangnya
    Dia ada kongsikan bagaimana mereka berbeza dalam mengendalikan anak yatim
    Haji ni dulu ex Texas Intruments..dia punya league memang power la..

    BalasPadam