(Sumber maklumat asal ialah daripada: http://rizalhashim.blogspot.com)
|
|
SEMALAM genap 18 tahun pemergian Allahyarham Mokhtar Dahari.
Pemergiannya ditangisi dan sehingga kini kekosongan yang terlalu besar itu belum terisi.
TV1 memberi penghormatan kepada sejarah kerjaya Allahyarham menerusi program Sekilas Liga, Khamis lalu.
Mujur bagi mereka yang terlalu muda untuk menghargai dan mengenali siapa Mokhtar Dahari, youtube dan Internet menghidangkan aksi-aksi anak kelahiran Setapak ini.
Sejarah Mokhtar sudah cukup diketahui umum. Legasinya kekal mekar menerusi rakaman-rakaman video, hasil nukilan dan kata-kata penghormatan menerusi pelbagai media, blog dan arus perdana.
Rata-rata bersetuju Mokhtar antara pemain terhebat dan berpengaruh dalam bola sepak Malaysia.
Namun penulis tertanya-tanya sama ada perkembangan landskap dan nasib bola sepak negara menghasilkan skrip yang berbeza sama sekali jika Mokhtar dan ramai lagi rakan-rakan seperjuangannya menyahut cabaran mencuba nasib di luar negara.
Benar, Chow Chee Keong, Yip Chee Keong dan Wong Choon Wah merintis jalan ke Hong Kong tetapi bekas tanah jajahan British itu bukanlah negara yang kaya budaya bola sepaknya.
Datuk Abdul Ghani Minhat dan Robert Choe dibawa melawat England pada 1960-an tetapi tidak mendapat peluang berkelana.
Berbeza pula dengan pemain sezaman Mokhtar, Cha Bum Keun dari Korea Selatan dan bintang Jepun, Yasuhiko Okudera.
Bintang mereka bersinar apabila mencuri tumpuan dengan Eintracht Frankfurt dan Cologne.
Nama Okudera yang beraksi beberapa kali dalam Pestabola Merdeka, tercatat selaku pemain Jepun pertama menyumbat gol dalam Piala Eropah.
Muka surat 210 buku The European Cup 1955-1980 menceritakan sumbangan Okudera ketika menentang Nottingham Forest pada separuh akhir Piala Eropah 1979.
Dimasukkan selaku pemain gantian oleh jurulatih ternama, Hennes Weisweiler, Okudera, pada sentuhan keduanya, meledakkan rembatan daripada jarak 25 meter.
Ia meluncur melepasi terpaan penjaga gol Forest, Peter Shilton. Jaringan itu cukup memalukan Shilton.
“Itulah kesilapan pertama saya sejak menyertai Forest,” Shilton dipetik sebagai berkata.
Bum Keun yang enam bulan lebih tua daripada Mokhtar, memberanikan dirinya menimba ilmu di Jerman seawal usia 25 tahun dengan SV Darmstadt sebelum menjulang Piala UEFA dengan Eintracht pada 1980.
Keberanian Bum Keun dan Okudera meninggalkan impak maksimum kepada bola sepak di negara masing-masing. Biarpun Korea Selatan dan Jepun mengalami era kemerosotan pada lewat 1970-an, kejayaan Bum Keun dan Okudera di Jerman menerangi kegelapan itu.
Mereka dianggap idola dan pujaan jutaan anak muda. Mereka menjadi bukti kejayaan boleh diperoleh di negara asing. Mereka menjadi bukti anak Asia juga boleh bersaing, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang Eropah.
Bukan itu saja, Bum Keun menerima gaji cukup lumayan, satu ketika dipercayai gajinya yang ketiga paling mahal di Bundesliga.
Kini, anak muda Korea dan Jepun berduyun-duyun ke Eropah. Benua itu menjanjikan kemewahan dan pengiktirafan.
Budaya memberanikan diri bermain di luar kepompong mereka sudah terpahat di kotak pemikiran anak-anak muda Korea dan Jepun.
Bagaimana agaknya corak lanskap bola sepak negara jika Mokhtar ke England, misalnya?
Sejumlah kecil generasi selepas Mokhtar cuba menyahut cabaran. Lim Teong Kim beraksi untuk Hertha Berlin di Divisyen Tiga Jerman, disusuli Liew Kim Tu dan kemudiannya Akmal Rizal Ahmad Rakhli di Divisyen Tiga Perancis.
Hasilnya, malangnya, tidak seberapa.
Hampir dua dekad sesudah pemergian Mokhtar, beberapa nama sudah muncul. Bezanya mereka ‘berguru’ di luar negara. Wan Kuzain Wan Kamal di Illinois, Amerika Syarikat, Haziq Zikri Elias di England, Muhammad Izzat Daniel yang menambat hati Chelsea tetapi dijangka pulang ke Kuala Lumpur dan Tam Sheang Tsung yang sudah terikat sebagai pemain remaja kelab Yokohama di Jepun.
Adakah mereka bakal mencorakkan warna dan sejarah baru bola sepak negara?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan