Jumaat, 18 Jun 2010

Bola itu bulat ...


Malam semalam agak mengecewakan apabila wakil Asia Korea Selatan tumpas 1-4 kepada Argentina. Ada 2 perkara yang mengecewakan saya. Pertama, jaringan gol sendiri oleh Park Chu-Yong pada minit ke-17 seakan petanda kekalahan Korea Selatan walaupun cuba mengejar kembali dengan jaringan gol oleh Lee Chung-yong seminit sebelum separuh masa pertama berakhir. Kedua, kapten Korea Selatan yang juga pemain Manchester United iaitu Park Ji Sung kelihatan tidak bermaya dalam memberi insipirasi kepada rakannya yang lain dalam perlawanan tersebut.

Walaupun Korea Selatan cuba bangkit dalam separuh masa kedua dengan beberapa serangan yang menarik, nyata itu tidak cukup untuk menjinakkan pertahanan Argentina, malah Argentina pula yang menambah jaringan. Jaringan hatrick oleh penyerang Real Madrid sudah cukup membuktikan bahawa nyata Argentina bermain dalam kelasnya yang tersendiri.

Saya tidak menonton perlawanan berikutnya yang mana Greece menewaskan NIgeria dengan jaringan 2-1. Saya juga tidak menonton perlawanan di antara France dan Mexico.

Tetapi pagi ini saya agak gembira apabila mengetahui Mexico menang terhadap France dengan jaringan 2-0. Kegembiraan saya bukanlah kerana saya menyokong Mexico, tetapi kerana saya menyokong Manchester United!

Ini kerana penyumbang gol Mexico pagi tadi (waktu Malaysia) ialah pemain muda prolifik Mexico yang akan muncul bersama-sama Manchester United pada musim hadapan. Namanya ialah Javier 'Chicharito' Hernandez. Laman web rasmi Manchester United melaporkan sebelum'Chicharito' dimasukkan pada separuh masa kedua, jurulatih Mexico iaitu Javier Aguirre tercari-cari senjata apakah yang boleh memusnahkan pertahanan France. Javie r Aguirre merasakan bahawa 'Chicharito' yang baru berusia 22 tahun itu boleh melaksanakan tugas tersebut. Nyata ilhamnya itu benar-benar menjadi kenyataan apabila 'Chicharito' menjaringkan gol menembusi pertahanan France walau hanya kurang 10 mint berada di atas padang.

Sejak 'Chicharito' dibeli oleh Manchester United dengan bayaran yang tidak diisytiharkan pada 8 April yang lalu, peminat dan penyokong Manchester United ternanti-nanti kemunculannya dalam Piala Dunia bersama Mexico. Secara rasminya 'Chicharito' akan menyertai Manchester United pada 1 Julai ini.

*Sumber maklumat: Espnstar.com, Manutd.com, Wikipedia
*Imej disalin daripada: Espnstar.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan