Jumaat, 18 Jun 2010

Parlimen Malaysia


Tahukah anda bahawa bangunan Parlimen yang tersergam indah di Taman Bunga Kuala Lumpur adalah merupakan antara projek pembangunan terawal yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang pertama; Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Sebuah bukit pada ketinggian 61 meter dari aras laut telah diratakan bagi tujuan pembinaannya. Pada ketika itu projek ini bernilai RM18 juta. Ia siap dibina pada September 1962, dan pada 21 November 1963 ia telah dirasmikan pembukaannnya oleh Duli Yang Teramat Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Persekutuan Tanah Melayu Yang Ketiga, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail D.S.M, S.M.N. DK (BRUNEI).

Sebelum bangunan Parlimen ini dibina, sidang Parlimen dijalankan di satu lokasi yang beralamat di nombor 108, Jalan Ampang Kuala Lumpur. Lokasi tersebut ialah sebenarnya kediaman milik seorang hartawan getah dan timah yang bernama Eu Tong Sen. Kediaman beliau yang dibeli oleh Kerajaan itu kemudiannya dikenali sebagai Dewan Tunku Abdul Rahman menempatkan pula Galeri Seni Negara pada tahun 1980an. Kini lokasi tersebut dikenali sebagai Pusat Maklumat Pelancongan Malaysia atau MATIC Jalan Ampang.

Bangunan Parlimen pastinya kekal dalam ingatan kebanyakan kita sebagai salah satu ikon paling nostalgik di Kuala Lumpur. Bahkan imejnya diingati hampir majoriti masyarakat negara ini kerana imprint imejnya pada syiling 20 sen yang lama.

Jika anda bertanyakan kepada generasi veteran di negara ini, imej Kuala Lumpur apakah yang paling diingati mereka; pastinya selain daripada imej Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan Masjid Negara, pastinya Bangunan Parlimen adalah salah satu daripada jawapannya.

*Sumber maklumat: Berdasarkan artikel M.Veera Pandiyan dalam The Star 17 Jun 2010 dan Laman Web Rasmi Parlimen Malaysia

*Imej disalin daripada: dariparlimen.blogspot.com



Tiada ulasan:

Catat Ulasan