Khamis, 17 Jun 2010

Cameron Highlands oh Cameron Highlands ...


Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser melaporkan bahawa antara Januari hingga September 2008, lebih setengah juta orang pelancong iaitu seramai 525,749 orang telah melawat tanah tinggi Cameron Highlands Pahang. Ini merupakan peningkatan sebanyak 71% berbanding dalam tempoh yang sama pada tahun sebelumnya iaitu seramai 305,855 orang! Tahap kepopularitian kawasan peranginan ini di kalangan memang tidak dapat disangkal kerana laporan itu turut menyebut daripada jumlah 525,749 orang pelancong yang dicatatkan itu, 335,799 orang merupakan pelancong domestik.

Ini terbukti apabila program TV3 Aduan Rakyat malam semalam memaparkan tentang kesesakan jalanraya yang agak kronik berlaku di kawasan peranginan tersebut. Kesesakan yang teruk dilaporkan terjadi dalam perjalanan antara Tanah Brinchang ke Kea Farm mengambil masa sehingga lebih daripada 2 jam hanya untuk melalui jarak perjalanan pendek iaitu 8 kilometer.

Laporan oleh wartawan tersohor Saudara Karam Singh Walia itu menyatakan bahawa kesesakan teruk itu berlaku kerana ramai pelancong meletakkan kenderaan sewenang-wenangnya di tepi jalan yang sempit itu untuk membeli-belah di gerai-gerai yang status lesen perniagaannya amat diragui.

Saya sendiri pernah mengalami pengalaman menempuh kesesakan jalanraya di Cameron Highlands sebagaimana yang dilaporkan oleh wartawan tersebut. Cuma saya melalui pengalaman tersebut pada waktu off-season yang mana ianya tidaklah seteruk sebagaimana yang dipaparkan dalam aduan Rakyat.

Pun begitu, saya bersetuju dengan Saudara karam Singh Walia iaitu punca kesesakan di kawasan tersebut ialah kerana kedudukan gerai-gerai jualan yang berselerakan dan tidak teratur. Adalah sesuatu yang menjengkelkan melihat para pelancong meletakkan kenderaan lalu menghalang kelancaran lalulintas, semata-mata untuk membeli sayur-sayuran segar, T-shirt dan rantai kunci kenang-kenangan Cameron Highlands. Tetapi itulah realiti yang berlaku. Mahu tidak mahu para pelancong termasuk saya sendiri terpaksa berbuat demikian lantaran kekurangan atau mungkin ketiadaan pusat-pusat jualan pelancongan yang menarik di Cameron Highlands. Itu belum lagi menempuh kesesakan lalulintas menuju Pasar Minggu Cameron Highland dan ladang strawberi terkenal, Raju's Farm.

Apa yang menghairankan saya ialah, mengapa pihak-pihak berwajib seperti Majlis Daerah Cameron Highlands, pihak Polis atau Pasukan RELA Cameron Highlands tidak mengambil inisiatif untuk mengawal kesesakan jalanraya yang berlaku? Ketika saya menempuh kesesakan di Cameron Highlands, saya tidak nampak sebarang kelibat agensi-agensi berkenaan mengawal kesibukan lalulintas.

Seperti yang dipaparkan dalam Aduan Rakyat, pihak Majlis Daerah Cameron Highlands haruslah bersungguh-sungguh dalam usaha menempatkan dan menstruktur semula gerai-gerai jualan tersebut ke suatu lokasi yang lebih bersesuaian. Saudara Karam Singh Walia secara sinis juga menyatakan bahawa para peniaga gerai-gerai jualan tersebut sebenarnya memeperbaharui lesen perniagaan mereka kepada pihak Majlis pada setiap bulan! Ini agak menghairankan kerana jika lesen perniagaan diperbaharui maka perniagaan mereka itu adalah sah di sisi undang-undang walaupun kelihatannya seperti gerai-gerai jualan haram. Syor program berkenaan supaya tindakan yang lebih serius perlulah dikenakan terhadap peniaga yang tidak mematuhi peraturan, perlulah dipandang berat oleh pihak Majlis. YDP Majlis Daerah Cameron Highland perlu memastikan anggota seliaannya menjalankan amanah mereka demi untuk kepentingan rakyat.

Saya berpendapat, selain usaha penyusunan semula gerai-gerai jualan pelancongan, pihak Majlis dan PDRM boleh bekerjasama dalam memastikan kesesakan trafik di Cameron Highlands dapat dikawal selia dengan baik serta terancang. Para pelancong tentunya tidak mahu kenangan indah percutian mereka dibayangi oleh igauan ngeri menempuh kesesakan lalulintas yang amat teruk. Menempuh perjalanan yang selsesa dan mendamaikan bukan sahaja dapat memastikan para pelancong yang datang akan membuat second tour ke Cameron Highlands malah keselesaan penduduk tempatan juga terjamin. Sudah tentu jika para pelancong datang semula ke tempat ini, pertumbuhan ekonomi dapat dimakmurkan dan dinikmati oleh semua pihak.

Saya juga ingin mengesyorkan agar projek-projek pembangunan dan pertanian pada masa akan datang dapat dihentikan sepenuhnya. Ini kerana sepanjang percutian saya di Cameron Highlands, mata ini amat sakit menyaksikan bukit-bukit serta kehijauan hutan tanah tinggi ditarah-ratakan untuk pembinaan struktur-struktur tertentu dan kawasan pertanian. Jika bukit dan hutan ditarah-ratakan, maka apa lagi yang tinggal untuk Cameron Highlands?

Cameron Highlands bukan sahaja tempat untuk menikmati kedinginan udara yang menenangkan bahkan ia juga satu kesempatan di mana anak-anak kecil dapat diasuh untuk menghargai alam sekitar. Kita tentu mahu melihat anak-anak kecil membesar untuk mencintai alam keliling mereka. Di mana lagi keindahan suria pagi menyimbahi kehijauan alam dapat dilihat, jika bukan di Cameron Highlands ...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan