Jumaat, 31 Julai 2009

Kisah Bagaimana PTS Memperoleh Pembiayaan Membeli Bangunannya

Disalin daripada: http://www.universitipts.com

Di kalangan orang-orang yang tidak tahu selok-belok dan tendang terajang dunia bisnes, mereka percaya orang bisnes mesti menunjukkan bukti-bukti bahawa bisnes mereka berjaya dengan membeli kereta mewah dan tinggal dalam rumah besar, jikalau tidak, susah mereka hendak menjalankan bisnes mereka sebab kononnya nanti orang tidak percaya mereka banyak duit. Begitulah salahnya sangkaan orang-orang yang duduk di luar dunia bisnes!

Dalam dunia bisnes yang sebenar, bukti terbaik kejayaan bisnes seseorang bukannya kereta mewah dan rumah besar, tetapi keyakinan bank. Bank tidak peduli kereta apa yang kita pandu, dan bank tidak peduli mahu melihat gambar-gambar rumah besar kita.

Bukti terbaik kejayaan bisnes seseorang itu adalah keyakinan bank-bank Cina dan bank Yahudi kepada syarikat mereka, kerana bank-bank Cina dan Yahudi hanya memberikan pinjaman dan kemudahan kepada syarikat yang memenuhi kriteria yang sangat ketat.

Di Malaysia, bank Cina yang paling baik reputasi dan prestasinya adalah Public Bank. Adalah sangat sukar mendapatkan dukungan Public Bank disebabkan kriteria pinjaman bank itu terkenal amat ketat. Itulah sebabnya sangat sedikit syarikat Melayu yang mempunyai akaun di Public Bank.

Bank-bank Malaysia yang mempunyai link dengan kerajaan tidak menggunakan kriteria ketat semasa meluluskan pinjaman. Syarikat Melayu yang sap-sap-soi pun boleh diberi panjaman besar, malah berjuta-juta.

PTS pernah menghantar permohonan bagi mendapatkan kemudahan dari sebuah bank tempatan yang besar dan ternama. Salah satu dokumen yang diminta oleh pegawai bank itu adalah surat tawaran kontrak kerajaan kepada PTS. Disebabkan PTS tidak masuk kontrak kerajaan, maka permohonan PTS ditolak mentah-mentah, padahal PTS membekalkan laporan akaun bank PTS selama 6 bulan yang menunjukkan bisnes PTS sangat aktif dan sihat.

PTS kemudian cuba memohon pinjaman daripada bank Cina bagi membeli bangunannya. Pengurus Cawangan bank itu diam-diam datang sendiri lalu berdiri di depan pintu setor PTS selama 10 minit, matanya tajam memerhatikan aktiviti yang sedang berlaku di dalam setor PTS. (Petugas-petugas setor PTS menyangka lelaki Cina itu adalah pegawai dari syarikat percetakan, lalu mereka pun tidak ambil pusing dan terus sibuk menjalankan kerja-kerja packing, setakat bertanya-tanya dalam hati apa yang dibuat oleh lelaki itu berdiri lama di situ!)

Hanya selepas beliau berpuas hati melihat dengan mata kepalanya sendiri inventori, jumlah pekerja setor PTS dan kesibukan mereka, barulah beliau membuat temu janji dengan CEO PTS bagi merundingkan permohonan pinjaman itu.

-------------------------------------------
Nota Kuliah:

Puan Ainon Mohd.'s avatar

Puan Ainon Mohd
Presiden,
Universiti Terbuka PTS
ainon@pts.com.my
Hakcipta Terpelihara Universiti Terbuka PTS 2006


Tiada ulasan:

Catat Ulasan