Rabu, 29 Julai 2009

SPESIES BARU LALAT DITEMUI DI USM

Disalin daripada: http://www.usm.my/my/berita-penuh.asp?id=6963&idform=7 (Maklumat daripada Facebook Prof Abdullah Hassan)



Spesies baru “scuttle fly” telah ditemui di kampus Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjadi parasit pembunuh anai-anai Macrotermes gilvus. Spesies lalat tersebut dinamakan Misotermes mindeni mengambil sempena kampus Minden USM, tempat ia ditemui.

Menurut Profesor Lee Chow Yang dari Makmal Entomologi Bandar, Unit Penyelidikan Kawalan Vektor Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, ia ditemui secara tidak sengaja oleh calon ijazah falsafah (Ph.D) beliau, Neoh Kok Boon yang sedang membuat penyelidikan di salah satu busut anai-anai di dalam kampus.

Neoh melihat sesuatu yang aneh di kalangan anai-anai yang ditelitinya daripada yang biasa dengan kepalanya yang besar lalu membawanya ke makmal. Neoh mendapati terdapat pergerakan luar biasa di bahagian abdominal anai-anai tersebut. Selepas beberapa hari hasil pemerhatiannya, didapati terdapat lalat yang terbang keluar dari badan anai-anai tersebut.

“Penemuan ini amat penting kerana inilah pertama kali spesies ini ditemui di dunia yang memberi kesan besar kepada dunia sains”,kata Profesor Lee.

Hal ini telah disahkan oleh pakar dalam bidang berkenaan, Dr. R. Henry Disney seorang tokoh berwibawa dalam “phorid flies” di Museum of Zoology, Universiti Cambridge United Kingdom. Penemuan ini telah disiarkan dalam jurnal antarabangsa Sociobiology yang bertajuk “A New Species of Scuttle Fly (Diptera: Phoridae) Parasitizing a Termite (Isoptera: Termitidae) in Malaysia” keluaran Jun 2009.

Profesor Lee Chow Yang bagaimana pun enggan membuat spekulasi tentang kegunaan lalat yang tidak berbahaya kepada manusia ini dalam menangani masalah anai-anai.

“Pada tahap ini, kami belum dapat menentukan sama ada lalat ini dapat memainkan peranan dalam kawalan anai-anai. Kami akan meneruskan penyelidikan untuk meneliti kemungkinan ini,” kata Profesor Lee lagi.

Tambahnya lagi, penemuan ini penting bagi menunjukkan betapa kampus USM kaya dengan kepelbagaian species yang menjadi tempat tinggal pelbagai jenis burung, tumbuh-tumbuhan dan sebagainya.

“Kita tidak perlu menerokai jauh ke negara luar bagi mendapat penemuan-penemuan baru seperti ini kerana di tempat kita pun sememangnya kaya dengan khazanah ilmu untuk diterokai,”kata Profesor Lee lagi.

Menyentuh tentang masalah anai-anai, beliau berkata, ia adalah satu industri besar kerana setiap 2 kerja yang dilakukan dalam pengurusan serangga, satu daripadanya ialah berkait rapat dengan anai-anai. Malah rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira RM50 juta setahun untuk menguruskan masalah yang berkaitan dengan anai-anai manakala kos membaik pulih bangunan yang dirosakkan oleh anai-anai dianggarkan 3 – 4 kali ganda lebih besar dari jumlah perbelanjaan tersebut. Malah sebanyak lebih USD22 billion dibelanjakan untuk tujuan yang sama di seluruh dunia.

Katanya lagi, walau bagaimana pun penggunaan bahan kimia masih merupakan kaedah terbaik untuk mengatasi masalah ini. Usaha-usaha sedang dibuat untuk mencari kaedah yang lebih lestari dalam mengangani masalah ini.

Sungguhpun masalah anai-anai di negara ini kerap disebabkan oleh anai-anai Coptotermes spp., namun Macrotermes gilvus telah berulang kali didapati mengambil alih lokasi infestasi Coptotermes setelah Coptotermes dimusnahkan oleh kaedah pengumpanan. Species Macrotermes gilvus ini sukar ditangani kerana tidak bertindakbalas terhadap umpan anai-anai.

Menjawab soalan pemberita tentang kemungkinan anugerah yang wajar diberi kepada pelajar dan saintis yang membuat penemuan seperti ini, Profesor Lee berkata, anugerah bukanlah perkara utama bagi seorang saintis tulen.

“Kepuasan sebenar ialah apabila dapat menemui sesuatu yang baru yang menjadikan hati dan sanubari kita teruja dengan sendirinya apatah lagi apabila melihat hasil penemuan itu diterbitkan di dalam sesuatu jurnal antarabangsa yang berwasit. Inilah yang menjadi petanda ikhlas yang dirasai oleh seseorang saintis,” kata Profesor Lee.

Tambahnya, jika ada anugerah diberikan, maka itu dianggap sebagai satu sagu hati yang tidak pernah diharapkan.

Tarikh Dimasukkan : 22-7-2009
Tarikh Mula Aktiviti : 22-7-2009
Tarikh Tamat Aktiviti : 22-7-2009
Lokasi Aktiviti : Bilik Persidangan Canselor
Pengelola : PRO
Fail Berkaitan : Neoh Kok Boon & Prof. Lee Chow Yang.jpg
Untuk maklumat yang lebih lanjut bolehlah menghubungi Mohamad Abdullah (e-mail)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan